Thursday, September 30, 2010

Keputusan Cabang Kota Raja: Xavier, Shuhaimi Menang

SHAH ALAM 30 SEPT: Exco Selangor, Dr Xavier Jeyakumar mengekalkan kerusi Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafie menang dalam persaingan jawatan timbalan ketua cabang.

Keputusan itu diisytihar Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Abdul Malek Hussin selepas pengiraan semula dibuat yang mengambil masa lebih 24 jam.

Xavier - Adun Sri Andalas mencatat majoriti 768 undi, mengatasi pencabar terdekat, S Kottapan yang memperoleh 151 manakala Shuhaimi yang mempertahankan jawatan, menerima 854 undi berbanding Shaari Abdul Malek (142 undi).

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, polis sedang menyiasat masalah pada proses pemilihan Cabang PKR Kota Raja, Ahad lalu berikutan pihak berkuasa itu menerima enam laporan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis membuka kertas siasatan dan dalam proses mengambil keterangan Xavier dan Kottapan.

Dalam pada itu, Xavier percaya kenyataan Kotappan dalam media tempatan yang menyalahkan beliau berikutan masalah pada hari pemilihan, dibuat mungkin berikutan tidak berpuas hati kerana kalah dengan perbezaan lebih 700 undi.

Sehubungan itu, beliau mahu berunding dengan peguamnya sebelum mengambil tindakan lanjut.

Petikan: TV Selangor

No comments: