Tuesday, September 7, 2010


Lagi 13 Wakil Rakyat Sokong Azmin, Sembilan Dari Selangor

7 Sept - Seramai 13 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Negeri Sembilan hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir pada sidang media yang bertujuan menyatakan sokongan kepada Pengerusi PKR Selangor itu, iaitu Yaacob Sapari, Amiruddin Shari, Suhaimi Shafei, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Xavier Jeyakumar.

Pada sidang media itu, mereka menyatakan seramai 13 ADUN termasuk kelima-lima mereka menyokong Azmin pada pemilihan yang berlangsung pertengahan 17 September hingga 21 November ini.

Selain mereka, ADUN yang didakwa menyatakan sokongan tetapi tidak hadir sidang media berkenaan ialah Rodziah Ismail, Lee Kim Sin, Gan Pei Nei dan Haniza Talha manakala ADUN dari Negeri Sembilan adalah Amiruddin Harun, Rashid Latif, Ravi Munusamy dan Chai Tong Chai.

ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata Azmin adalah calon terbaik untuk bergandingan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengasaskan politik baru di negara ini.

“Ketokohan, kepimpinan dan ketahanan diri beliau sudah teruji. Sebagai pelopor kanan, bersama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail akan memperkemas dan memperteguh parti menuju ke mercu jaya,” katanya.

Kerusi nombor dua hieraki parti itu kosong berikutan penyandangnya , Syed Hussin Ali, seorang senator Dewan Negara sebelum ini yang dijangka tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Bagaimanapub, Yaakob berkata sokongan yang dibuat hari ini bukan untuk menjatuhkan sesiapa, sebaliknya menganggap menzahirkan sokongan adalah hak seseorang wakil rakyat.

Pada akhirnya, kata beliau, ahli akar umbi PKR yang akan membuat undi bagi memilih pemimpin.

ADUN Seri Setia, Nik Nazmi pula menyifatkan proses menyatakan sokongan ini bukan amalan tidak sihat dalam sesuatu proses pemilihan parti, sebaliknya turut diaplikasi di negera maju termasuk United Kingdom.

“Proses menyatakan sokongan ini adalah persaingan yang sihat dalam membuat sebarang pemilihan pimpinan dalam mana- mana parti,” katanya

Mereka turut menyatakan penghargaan kepada Syed Husin kerana banyak berjasa dan berkorban memantap dan mempertahankan parti dari serangan musuh tradisinya, Umno Barisan Nasional.

Proses pemilihan parti 2010 melibatkan 218 cabang dan setengah juta anggota pamrti yang kesemuanya layak mengundi dan memilih kepimpinan di peringkat cabang dan pusat.

TV Selangor: -Zeannaima Yusof

No comments: