Sunday, September 19, 2010

Rencana Khas: Antara Ketokohan Azmin, Prinsip Zaid

PETALING JAYA: Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim, dua nama ini kini menjadi sebutan untuk merebut kerusi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang akan bermula pada 17 September hingga 21 November ini.

Saingan dua penjuru untuk merebut jawatan nombor dua parti itu dilihat semakin terbuka apabila penyandangnya, Senator Dr Syed Husin Ali awal-awal lagi mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan parti itu nanti.

Biarpun Zaid belum lagi menyatakan persetujuan secara rasmi untuk merebut jawatan nombor dua dalam PKR namun beliau dilihat seteru paling dekat untuk Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak yang telah mengumumkan pendiriannya di Kota Kinabalu pada Khamis.

Lebih menghangatkan suasanan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan pendirian bahawa beliau tidak menerima sebarang pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden daripada mana-mana cabang yang akan mula bermesyuarat hari ini untuk sebarang jawatan dalam parti.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, beliau mahu pemilihan kali ini berlangsung dalam suasana persaingan yang sihat dan semua calon yang bertanding perlu mematuhi etika dan tidak perlu mendakwa mereka mendapat restu daripadanya, katanya dalam laman blognya, http://anwaribrahimblog.com baru-baru ini.

Persoalannya siapakah yang bakal memenangi saingan dua penjuru itu nanti? Berdasarkan sumber dalaman PKR dan populariti, Azmin dilihat meninggalkan jauh Zaid yang masih mentah dalam parti pembangkang itu.

Bagi ahli PKR itu lagi, Azmin yang juga Naib Presiden parti ketika ini dilihat lebih layak dan mempunyai kredibiliti untuk memegang jawatan nombor dua berkenaan.

Sebagai orang kanan Anwar sejak dulu lagi selain sehinggalah PKR ditubuhkan sampai ke hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu sentiasa dekat dengan bosnya itu.

Sikap Anwar yang melebihkan Azmin berbanding Zaid dalam isu-isu tertentu meletakkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berada di kedudukan nombor dua di belakang Azmin.

Bukan itu sahaja, sebelum pemilihan cabang PKR bermula, sudah kedengaran Azmin menerima sokongan daripada 13 wakil rakyat parti berkenaan.

Mereka merupakan ADUN PKR dari Selangor dan Negeri Sembilan mengumumkan untuk tidak menyokong Zaid.

Pendirian itu diumumkan ADUN Kota Anggerik merangkap Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Yaakop Sapari bersama-sama 12 lagi ADUN antaranya Dr. Xavier Jayakumar (Andalas), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Shuhaimi Shafie (Seri Muda), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Haniza Talha (Taman Medan) dan Gan Pei Nei (Rawang).

Turut menolak Zaid ialah empat ADUN dari Negeri Sembilan iaitu Amirudin Harun yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Rashid Latif (Ampangan), Ravi Munusamy (Port Dickson) serta Chai Tong Chai (Lukut).

Kesemua mereka sebaliknya memberikan sokongan kepada Azmin.

Kenyataan kesemua wakil rakyat itu berkenaan dilihat sebagai titik tolak yang bakal menentukan nasib Zaid dalam PKR.

Bukan itu sahaja, bekas peguam kontroversi itu sendiri awal-awal lagi ibarat sudah mengangkat bendera putih kerana dia meramalkan bakal menerima nasib yang sama seperti Tun Ghafar Baba yang terpaksa menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993 kerana tidak cukup pencalonan.

Mungkin Zaid perlu mengukur baju di badan sendiri, kerana baru setahun jagung beliau menyertai PKR mengapa dia mahu segera menggapai cita-cita politiknya dengan mahukan kerusi nombor dua dalam parti yang dikatakan mengamalkan demokrasi dan kebebasan penuh kepada ahlinya.

Mungkin juga bekas Ketua Umno Bahagian Kota Baru ini lupa siapa Azmin di mata Anwar? Hubungan istimewa Azmin dan Anwar memang tidak perlu diperkatakan lagi, mereka telah bekerjasama ketika era Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi.

Azmin ketika itu memegang jawatan sebagai Setiausaha Sulit Anwar yang banyak memegang rahsia dan selok-belok permainan politik pemimpin de facto PKR itu hinggalah Anwar dipecat daripada jawatan nombor dua negara dan disumbat ke dalam penjara, Azmin tetap setia kepadanya.

Persoalannya, mampukah Anwar mengetepikan Azmin selepas segala pengorbananan yang telah dicurahkan oleh Azmin kepada bosnya itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berkata, Zaid merupakan pemimpin yang gelojoh untuk mengukuhkan kedudukannya dalam PKR, tanpa mengkaji dan meneliti struktur dalaman parti itu sendiri.

“Di sinilah silap Zaid, dia terlalu gopoh untuk menggapai cita-cita politik dan merebut jawatan Timbalan Presiden tanpa mengenal pasti kedudukan dia dalam PKR terlebih dahulu.

“Bertanding jawatan nombor dua dalam PKR menentang Azmin ibarat Zaid menguburkan karier politiknya sendiri,” katanya kepada mStar Online. Menurut Ahmad Nidzamuddin, tindakan bekas peguam itu ibarat menjerat dirinya sendiri kerana kedudukan Azmin di mata Anwar ibarat anak emas sedangkan Zaid hanyalah ‘melukut di tepi gantang’.

“Zaid wajar berfikir dua kali sebelum dia menyatakan pendirian untuk bertanding jawatan nombor dua dalam PKR.

“Jika tidak dia akan kecewa dengan keputusan pemilihan kerana ia sudah pasti akan mengecewakannya,” katanya.

Namun pensyarah Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia ini berkata, kredibiliti Zaid tidak boleh ditolak ketepi sama sekali kerana ada pemimpin kanan DAP yang memberi sokongan kepadanya.

“Namun jangan memandang rendah keupayaan Zaid. Di sini dia ada kelebihan kerana ada dikalangan pemimpin DAP menyukainya.

“Zaid dilihat sebagai pemimpin yang berprinsip tanpa memikirkan kedudukannya kerana dia sanggup meletakkan jawatan sebagai Menteri di JPM dan meninggalkan Umno dua tahun lalu,” ujarnya.

Apa pun, analisis yang dibuat keputusan untuk memilih pemimpin nombor dua PKR itu terletak ditangan lebih 400,000 ahli parti yang layak mengundi pada pemilihan kali ini.

No comments: