Tuesday, January 11, 2011

Awang Selamat Yang Biadab- Mana KDN ?
Ditulis oleh Faekah Husin
08/01/2011 Share


Terlalu banyak yang diperkatakan tentang tulisan Awang Selamat selama ini. Saya cuba untuk tidak ambil pusing walaupun cukup meluat membacanya. Namun tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia pada Ahad lalu sudah melampaui batas-batas kewarasan apatah lagi ia terpampang di dada akhbar perdana.

Akhbar yang suatu ketika dulu menjadi rujukan saya terutama ketika mahu mengambil peperiksaan STPM bagi subjek Pengajian Am kini bertukar menjadi alat adu-domba. Mengenangkan hal itu maka saya membuat keputusan ini menulis atas dasar tanggungjawab kepada anak-anak yang mengalami keadaan yang sama dengan saya 25 tahun lalu; untuk lulus cemerlang dalam Pengajian Am.

Tulisan Awang Selamat atas tema Biadab sungguh tidak bertanggungjawab dan berniat jahat. Jelas ia bertujuan melaga-lagakan pihak Istana dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu.

Awang Selamat sengaja mencetuskan kontroversi. Sekali gus memutikkan bibit kebencian dan syak wasangka. Hampir serupa dengan tindakan akhbar perdana pada 1992 dan awal 1993 dahulu. Cuma hala gayanya yang berbeza. Kalau dulu, istana menjadi sasaran herdik Utusan dan Berita Harian, kini Kerajaan Pakatan menjadi tumpuan. Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dijadikan batu loncatan lantas diperbesarkan sedangkan PR Selangor menganggap ia hanyalah urusan pentadbiran yang boleh diselesaikan dengan kebijaksanaan.

Malangnya bukan penyelesaian yang didambakan Awang Selamat. Tulisan berbaur hasutan dan fitnah ini sengaja mahu menimbulkan permusuhan antara Istana dengan Kerajaan Negeri yang mereka lihat begitu baik dan teratur. Tulisan tidak bertamadun ini cuba membangkitkan kemarahan orang Melayu kononnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak tahu adat dan Perlembagaan.

Awang Selamat tidak ubah sebagai pecacai Umno yang menggunakan media untuk membolehkan Umno/BN merampas semula Selangor sekali gus meneruskan penyelewengan serta salah guna kuasa yang mereka amalkan sepanjang memerintah Selangor.

Persoalannya, siapakah individu yang bersembunyi di sebalik nama Awang Selamat ini? Mana perginya sifat profesionalisme seorang wartawan? Selaku akhbar utama negara dengan barisan ahli lembaga pengarah yang saya kira dari golongan cerdek pandai, mengapa tiada seorang pun yang menasihatkan Awang Selamat agar menjaga maruah seorang wartawan dan maruah akhbar perdana itu sendiri? Atau semuanya telah hilang rasa malu pada dhamir masing -masing?

Seorang yang berfikiran waras maklum bahawa dalam soal perlantikan SU Kerajaan Negeri tidak timbul langsung isu penderhakaan terhadap DYMM Sultan Selangor. Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor membabitkan masalah pentadbiran antara Kerajaan Selangor dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) apabila KSN tidak bertindak profesional dengan membelakangkan Menteri Besar selaku ketua eksekutif. Isu bertambah rumit apabila pilihan terbaik menurut meritokrasi; kemampuan, pengalaman dan kekananan dalam jawatan diketepikan begitu sahaja.

Tahukah Awang Selamat DYMM Sultan Selangor sedia mengambil maklum bahawa kerajaan UMNO/BN lah yang telah menghakis kekuasaan Raja-raja Melayu sejak krisis Perlembagaan 1993. Jangan Awang ingat Tuanku akan terpedaya dengan tulisan bermuka-muka tersebut.

Sejarah jelas membuktikan pihak mana yang suatu ketika beriya-iya benar mahukan supaya kekebalan Raja-raja Melayu dihapuskan. Malah, lebih dahsyat lagi mahu raja-raja Melayu dinyahkan daripada tahta dan istana diraja.

Pastinya selaku wartawan Awang pernah membaca laporan Berita Harian, pada 19Januari 1993 menyiarkan berita seorang Ahli Parlimen dari Perak yang mengingatkan raja-raja supaya mengambil kira suara rakyat jika tidak raja-raja tidak dapat kekal lama "malah tahta mereka mungkin akan beralih ke muzium.

Bagi mengingatkan Awang, akhbar yang sama telah pada 16 Januari 1993 turut melaporkan seorang Menteri Besar pernah mendesak para ulama dan ilmuan Islam menasihati raja-raja Melayu tentang keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan kekebalan raja-raja. Ahli Parlimen dari Pahang pula dengan tega memberi tempoh 30 hari kepada raja-raja bagi memikirkan semula pendirian mereka berhubung pindaan tersebut.

Ketika itu pergerakan Pemuda UMNO begitu ghairah mahukan Kerajaan Persekutuan berpendirian tegas dan tidak berganjak dengan pendirian menghapus kekebalan raja-raja. Jika Awang seorang nasionalis, pasti beliau masih ingat bahawa pada ketika itu kakitangan dan pegawai kerajaan termasuk Datuk Bandar tidak dibenarkan berurusan dengan istana negara kecuali dengan kebenaran Perdana Menteri. Para pegawai juga dibenarkan untuk menolak undangan ke istana untuk menghadiri majlis bersama Raja-raja Melayu.

Selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya cuba melupakan peristiwa tersebut walau ianya adalah sebahagian dari sejarah negara. Namun apabila karenah manusia berubah, setelah 17 tahun berlalu, tiba-tiba hari ini pihak yang berusaha dan berjaya "menghapuskan kekebalan dan beberapa hak istimewa Raja-raja Melayu", kembali bermuka-muka dengan seruan supaya orang Melayu menghormati raja dan sultan.

Lebih dahsyat lagi mula bercakap soal penderhakaan kepada Sultan dan berselindung di sebalik nama Istana untuk mengaburi niat jahat mereka. Namun pekung mereka cukup busuk dan membusukkan. Rakyat melihat jelas ini adalah usaha terdesak mereka bagi mengembalikan sokongan terhadap mereka yang kian merosot dan parti mereka bakal menjadi parti picisan.

Awang Selamat terpilih menjadi Tok Selampit dan tukang karut. Amat menghairankan dimana hilangnya ketegasan Menteri Dalam Negeri dalam situasi bahaya ini. Mengapa Awang Selamat dibiarkan merapu dan berkeliaran umpama maling gila merosak keamanan.

PR Selangor menjunjung penuh kedaulatan DYMM Sultan Selangor yang menjadi tempat rakyat berlindung dan mencari keadilan. Titah Tuanku Sultan ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada DY Teramat Mulia Raja Muda pada 6hb Januari sangat mengujakan. Tuanku dengan jelas menjawab Awang dan pihak-pihak yang cuba menangguk di air bahawa tohmahan mereka salah. Baginda bertitah bahawa baginda begitu akrab dan mesra dengan Dato Menteri Besar Selangor, nasihat-menasihati antara satu sama lain, bertukar-tukar fikiran dalam banyak hal dan perkara.

Kerajaan Pakatan Rakyat menentang sekeras-kerasnya sebarang cubaan melaga-lagakan hubungan baik antara pimpinan negeri dan pihak Istana. Saya mendesak UMNO/BN samada atas kapasiti mereka atau dengan bertopengkan GAPS dan PERKASA berhenti memainkan sentimen ini kerana sangat memalukan sebuah parti yang begitu ghairah dengan berbagai slogan akhirnya menggunakan taktik kotor sebegini untuk mendapatkan semula sokongan. Saya juga mendesak

Kementerian Dalam Negeri jangan lagi memekakkan telinga dan berpura-pura tidak melihat tindakan Awang ini penuh dengan unsur hasutan dan fitnah melampau.

Sumber: TV Selangor

No comments: