Loading...

Tuesday, January 11, 2011

Program 100 Hari: Anwar Cabar Najib Debat
Ditulis oleh Najib
11/01/2011 Share


PETALING JAYA 11 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat mengenai kewibawaan Program 100 hari Pakatan Rakyat yang hanya menelan belanja RM 19.2 bilion setahun, jauh lebih rendah dari ketirisan RM28 bilion akibat projek-projek yang diluluskan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Datuk Seri Najib semalam mendakwa program 100 hari itu yang menawarkan subsidi rakyat yang lebih tinggi, lebuhraya tanpa tol, imbuhan yang lebih baik untuk kakitangan awam serta pemansuhan undang-undang zalim, bakal membankrapkan negara.

Namun pakar-pakar ekonomi yakin program itu yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama PR menawan Putrajaya adalah berwibawa kerana berpaksi kepada penjimatan wang rakyat jika pemberian kontrak kepada syarikat kroni dibanteras, manakala subsidi untuk syarikat korporat kroni dikurangkan.

Transparency International menganggar rasuah menyebabkan negara kerugian RM10 bilion setahun. Ketua Audit Negara, dalam laporan tahunannya mendedahkan ketirisan sahaja mengakibatkan Malaysia kerugian RM28 bilion ringgit.

Dalam sidang akhbarnya pagi tadi, Datuk Seri Anwar selaku Ketua Pembangkang berkata Najib begitu ghairah menggunakan media kawalan pemerintah untuk memadamkan fakta sebenar mengenai Program 100 Hari yang di persetujui pada Konvensyen PR di Pulau Pinang bulaan lalu.

Tuduhan bahawa PR bakal menjadikan negara muflis adalah dangkal tidak berpegang kepada hakikat dan fakta.

"Hakikatnya Umno-Barisan Nasional(BN) yang berhutang setiap tahun. Laporan Ketua Audit Negara dikeluar 25 Oktober 2010 menyatakan hutang negara sekarang melebihi 50 peratus buat kali pertama dalam sejarah. Hutang kerajaan 2009 meningkat kepada RM 362.9 bilion atau 53.9 peratus KDNK. Angka ini bertambah di bawah pentadbiran Datuk Najib," tegas Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat.

Anwar berkata program 100 hari bertujuan mengurangkan beban yang dihamparkan oleh Umno kepada rakyat marhaen yang semakin dihimpit denga kenaikan harga barangan asas dan pendapatan yang mengucup.

Kira-kira 40 peratus daripada rakyat negara ini, masih dalam lingkungan pendapatan RM1,500 sebulan, sebilangan besar daripada mereka aadalah kaum Melayu dan golongan bumiputera lain.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin Umno begitu dangkal mempersoalkan janji PR untuk memberikan imbuhan tambahan RM500 kepada pendidik bagi mengiktiraf kepentingan profesyen itu tetapi berpeluk tubuh apabila Najib membayar RM77 juta kepada APCO, syarikat perunding pro-Zionis untuk memulihkan imejnya yang tercalar.

"Kita boleh senarai pelbagai fakta. Tidak baik untuk mempermain dan perolok program kita semata kerana nak bagi RM500 elaun tambahan kepada guru sedangkan mereka bayar RM 77 juta kepada Apco. Keutamaan inilah yang membimbangkan kita," kata Anwar.

Memberi pecahan kewangan program 100 Hari Pakatan Rakyat, Anwar berkata imbuhan tambahan RM500 kepada para guru akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion, manakala subsidi minyak dan gas memasak RM8 bilion, dan penstrukturan sistem tol sebanyak RM 8 bilion.

Anwar berkata Najib harus tampil secara terbuka berbahas dengan beliau untuk memerinchi Program 100 Hari supaya rakyat boleh mendengar dan membuat keputusan terbaik demi masa depan mereka.

Beliau berkata apa yang jelas sekarang ialah kerajaan pusat memberikan syarikat kroni subsidi yang jauh melebehi subsidi yang diberikan kepada rakyat.

"Empat, lima syarikat kroni IPP dapat subsidi RM 19 bilion. Seluruh rakyat Malaysia dapat subsidi RM11 bilion. Kerajaan takut berdepan dengan syarikat kroni yang kaya, " kata Anwar.

Sumber: TV Selangor

No comments: