Tuesday, January 11, 2011

Kit Siang: Utusan terus berbohong, semai sikap ancam perpaduan

Posted on Sunday, January 09 @ 06:12:23 PST by tokdalang
Berita
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


KUALA LUMPUR,Akhbar “rasis” Utusan Malaysia terus kekal menjadi ancaman utama kepada slogan 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tegas Lim Kit Siang hari ini.



Pemimpin veteran DAP itu berkata, akhbar milik Umno tersebut terus-menerus meracuni pemikiran rakyat dengan retorik menyemai sikap benci-membenci, tidak percaya satu sama lain dan memudaratkan perpaduan.


Kata beliau, tulisan-tulisan yang bersifat pembohongan dan tidak benar akhbar terbitan Kumpulan Utusan bagi menyemarakkan racun perkauman dan membenci, menyemai perasaan tidak yakin dan memudaratkan perpaduan merupakan “sumbangan paling buruk” kepada usaha Najib yang membawa gagasan 1 Malaysia dalam membina negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Lim berkata, Mingguan Malaysia sekali lagi menghidangkan penipuan dan pembohongan untuk meracuni sistem politik dan memperlekehkan proses membina negara, dengan membuat dakwaan tidak berasas dan membuta tuli menerusi editorialnnya bahawa DAP sedang bertindak ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara republik dan menghapuskan sistem Raja-raja Melayu.

Dalam ruangan Awang Selamat hari ini, akhbar itu mempersoalkan apakah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan didalangi oleh DAP yang sememangnya mahu mencetuskan krisis perlembagaan di Malaysia.

Katanya, isu di Selangor itu dikatakan menjadi kes ujian sebelum Pulau Pinang dan akhirnya, di seluruh negara.

“Kedua, PKR dan DAP sengaja memainkan isu pelantikan Khusrin kerana mahu mengalihkan perhatian daripada kegawatan dalam PKR serta kelemahan kerajaan negeri,” katanya.

Akhbar itu menambah, “tetapi iktibar daripada kemelut di Selangor itu ialah jika PKR dan DAP memerintah, lagi banyak berlaku kemudaratan”.

“Yang paling pasti, Malaysia akan berada di ambang republik. Kebangkitan badan-badan bukan kerajaan (NGO) terutama di Selangor menentang penderhakaan PKR dan DAP, membuktikan majoriti rakyat terutama orang Melayu tidak akan membenarkan cubaan itu berlaku,” katanya lagi.

Ia juga mendakwa pemimpin utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sengaja berdiam diri kerana mahu rakyat tidak memberi perhatian kepada isu moral termasuk kes perbicaraan liwatnya.

Dalam respons, Lim juga berkata, dakwaan Awang Selamat satu penipuan yang bertujuan untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS dan kerajaan Selangor.

“Tidak perlu bagi saya untuk mengulangi semula pendirian DAP sentiasa menyokong sistem raja berperlembagaan di Malaysia,” katanya.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, apa yang cuba disampaikan oleh Awang Selamat merupakan mutu kewartawan yang paling buruk.

Sehubungan itu, Lim menggesa Najib mengambil tindakan ke atas Kumpulan Utusan yang terus membawa mesej mahu menjatuhkan imej pentadbiran 1 Malaysia Najib.

Malah katanya, Kabinet Najib tidak boleh kekal ideal dengan tindakan akhbar kumpulan itu membawa maklumat-maklumat yang meracuni pemikiran rakyat.

“Di bawah kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno, Utusan Malaysia berubah menjadi akhbar yang berbohong, yang jauh bertentangan dengan objektif Najib menggalakkan media yang bersifat inklusif,” katanya lagi.

Oleh itu kata Lim, jika Najib dan pemimpin-pemimpin Umno, dan juga pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional sama ada MCA, Gerakan, MIC atau parti-parti komponen Sarawak dan Sabah terus menutup mata dengan tidak mengambil tahu tulisan akhbar Kumpulan Utusan, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama berhak untuk mengetahui kewibawaan slogan 1 Malaysia.

Kerajaan negeri Selangor kini berhadapan dengan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan merancang untuk meminda perlembagaan negeri, dijangka hujung bulan ini.

Sebelum ini, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin memberi amaran kepada kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat tentang risiko kehilangan sokongan orang Melayu ekoran kemelut semasa.M/I

Sumber: Detik Daily

No comments: