Rencana
Sidang DUN Selangor ada agenda tersirat
2011/01/26
Kerajaan negeri bawa budaya ceramah jalanan, jaja isu lapuk demi raih publisiti murahan
MEMBUANG masa, tenaga, wang dan sia-sia. Itu yang boleh dirumuskan mengenai sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kelmarin yang bertujuan meminda Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Selain gagal mengemukakan hujah mengapa Perkara 52(1) perlu dipinda, sidang khas ini juga menunjukkan tembelang sebenar kerajaan negeri Selangor yang menggunakan pentas DUN untuk menghalalkan tindakan mencela, menghina, mengutuk dan mempersenda UMNO serta Barisan Nasional (BN).
Budaya ceramah murahan dan picisan dibawa masuk ke dalam pentas DUN. Mujur juga wakil rakyat BN tidak terikut-ikut dengan langkah sumbang penyokong kerajaan yang ketandusan idea dengan hanya menjaja isu lapuk mengaitkan penderhakaan UMNO dan BN terhadap Raja-Raja.
Lebih malang, penggunaan bahasa dan istilah tidak sewajarnya dari mulut wakil rakyat kerajaan negeri bergema tanpa batasan menghina bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Setiausaha Negara (KSN) malah Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru diperkenan Sultan Selangor, Datuk Mohd Khusrin Munawi.
Shuhaimi contohnya menggunakan istilah ‘budak suruhan’ bagi merujuk kepada KSN dan dituduh diperguna pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya untuk mengkucar-kacirkan kerajaan Selangor.
Ucapan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San yang mendakwa konsep 1Malaysia sebagai Sapu Malaysia juga tidak ada kena mengena dengan tujuan asal, usul pindaan Perkara 52(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
Disebabkan itu, apabila Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman menyatakan kerajaan negeri Selangor ‘syok sendiri’ mengadakan sidang khas kelmarin amat tepat dan benar kerana belumpun sidang berakhir, Menteri Besar awal-awal lagi sudah mengaku tewas yang kerajaan negeri pimpinannya tidak akan mendapat sokongan dua pertiga daripada ADUN.
Abdul Khalid juga dengan cepatnya menerusi sidang media menegaskan sidang DUN Selangor itu bukan sidang tergempar, sebaliknya persidangan biasa bagi membincangkan perkara spesifik, mendesak dan berkepentingan awam.
“DUN membincangkan pelantikan SUK yang membabitkan kepentingan awam,” kata Abdul Khalid yang jelas sekali menjelmakan niat sebenar kerajaan negeri yang hanya mahu publisiti murahan di sebalik tindakan yang mendapat pengesahan dari sudut undang-undang.
Walaupun mempunyai 35 ADUN, kerajaan negeri tidak mampu mengubah apa-apa terhadap undang-undang berkenaan kerana mereka tidak cukup syarat untuk memindanya kerana masih memerlukan dua lagi undi daripada ADUN.
Sebaliknya, 20 ADUN mewakili BN sebulat suara tidak menyokong pindaan undang-undang itu dengan berpegang kepada empat faktor iaitu ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, pindaan hanya bermotif politik, BN tidak pernah membelakangkan Sultan Selangor dan menganggap kerajaan negeri menderhaka kerana tidak menerima pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK, sedangkan Sultan Selangor sudah memperkenan pelantikannya.
Kerajaan Selangor masih hendak bermimpi pada siang hari.
Jika sudah tahu tidak mampu meminda undang-undang berkenaan, mengapa perlu diadakan sidang khas. Tidak lain dan tidak bukan ia satu persidangan yang membuang masa dan satu proses sia-sia.
Mohamad Satim menganggap sidang itu pentas Abdul Khalid dan wakil rakyat mengkritik UMNO termasuk Dr Mahathir.
“Kerajaan negeri sebenarnya tidak puas hati dengan pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK.
Cadangan pindaan ini juga untuk mengalihkan perhatian yang mereka akan mencanangkan kepada rakyat kononnya BN tidak menghormati institusi raja,” katanya di luar dewan.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri juga cuba memutar belit pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993.
“Pindaan itu disalah erti kerajaan negeri dengan menyatakan ia tindakan BN yang cuba mengurangkan kuasa Sultan.
“Sebaliknya pindaan itu sebenarnya dilakukan untuk mengukuhkan kedudukan institusi raja-raja di negara ini di bawah sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini,” katanya.
Anehnya, persidangan DUN yang gagal mencapai matlamatnya ini dianggap berjaya oleh Abdul Khalid dengan alasan semua wakil rakyat kerajaan negeri bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
Hakikatnya, pindaan itu gagal dan kerajaan Selangor boleh dianggap sebagai kerajaan yang lemah dan hilang wibawa kerana gagal dalam tujuannya memenuhi agenda yang dirancang.
Nota:
Rencana di atas adalah hasil tulisan penulis upahan dan murahan UMNO BN yang hanya berani berkokok di sebalik rencana tidak bernama di berita harian. Beliau tidak mampu berhujah dengan fakta bagi menafikan penderhakaan UMNO BN yang disebut oleh 5 pembahas dalam dewan negeri semasa perbahasan. Walaupun penulis rencana berkata ia isu lapuk, penderhakaan UMNO BN memang benar, tiada yang tidak benar, melainkan yang benar belaka! Inilah salah seorang pengampu dan penjilat air ludah pimpinan UMNO BN.
No comments:
Post a Comment