Loading...

Tuesday, January 4, 2011

Pindaan Untuk Kembalikan Kuasa Sultan Uji Kesetiaan ADUN Umno-BN
Ditulis oleh
04/01/2011 Share


SHAH ALAM 4 JAN: Cadangan pindaan undang-undang tubuh negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar untuk melantik tiga pegawai eksekutif termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri bakal menguji kesetiaan Adun-Adun Umno-Barisan Nasional(BN) terhadap istana.

Pindaan yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu memerlukan majoriti dua pertiga untuk diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor, bermakna sokongan ADUN BN adalah perlu bagi memulihkan kuasa Sultan yang ditarik balik oleh pemerintah ketika krisis perlembagaan pada tahun 1993.

Pakatan Rakyat mempunyai 35 daripada 56 kerusi DUN Selangor, kurang tiga untuk majoriti dua pertiga.

Pindaan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat bertujuan mengembalikan kuasa perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Pindaan itu dicadangkan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim setelah Putrajaya memulau kerajaan negeri dan melantik bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK, berkuatkuasa 1 Januari.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohamad Sidek Hassan mendakwa Sultan Selangor memperkenan perlantikan itu walaupun ia dibuat tanpa sebarang rujukan atau perbincangan dengan kerajaan negeri.

Namun dalam pertemuan dengan Tan Sri Khalid semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjelaskan baginda tidak ada kuasa untuk menerima atau menolak pelantikan Khusrin.

Ini kerana kuasa yang ada pada Istana bersabit pelantikan jawatan-jawatan kanan kerajaan negeri ditarik balik oleh Umno-Barisan Nasional pada tahun 1993 bagi menambah kuasa kerajaan persekutuan.

Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Cheng Khim yakin ADUN-ADUN Umno-BN tidak akan bermasalah untuk memberikan sokongan kepada usul pindaan bagi memperkukuhkan kuasa Sultan.

“Saya akan meluluskan pindaan itu jika ia mendapat persetujuan dua pertiga ahli dewan. Kita tidak boleh menganggap ini tidak akan berlaku kerana Menteri Besar boleh menyakinan beberapa ADUN pembangkang(BN) untuk memberi sokongan,” beliau memberitahu sidang akhbar.

Menjawab soal wartawan, Teng berkata pindaan itu boleh dikuat kuasakan pada 1 Januari 2011 jika usul berkenaan dibentangkan sedemikian.

Jika ini berlaku, maka pelantikan Khusrin mungkin tidak sah kerana melanggar pindaan baru yang berkuatkuasa itu.

Teng berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang notis rasmi daripada kerajaan negeri untuk mengadaan sidang tergempar bagi membentangkan usul pindaan yang diumumkankan oleh Khalid semalam.

Namun beliau menjelaskan bahawa sidang DUN boleh dipanggil pada bila-bila masa tanpa jika Speaker berpuas hati atas keperluannya.


Sumber: TV Selangor

No comments: