Thursday, January 6, 2011

Utusan putar belit isu SUK

K Pragalath | January 5, 2011

Adun Sri Muda kesal Utusan Malaysia putar belit kenyataannya

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, hari ini menyatakan rasa kesal terhadap putar belit akhbar Utusan Malaysia mengenai kenyataannya berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Beliau menafikan ada mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan SUK tidak memerlukan perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah seperti yang dimanipulasi oleh akhbar arus perdana tajaan Umno itu.

“Saya hanya mempersoalkan kenapa kaedah pelantikan SUK itu dibuat dengan membelakangkan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim),” katanya.

Shuhaimi berkata, sekiranya ada pihak yang terus melempar tohmahan sebegini maka Angkatan Muda Keadilan Cabang Kota Raja akan membongkar kisah penderhakaan Umno terhadap Kesultanan Melayu.

Beliau menjelaskan bahawa peribahasa “beraja di mata dan bersultan di hati” yang dinyatakannya bertujuan untuk mengingati semua pihak bahawa tindakan yang diambil mana-mana pihak tanpa mengambil kira peraturan dan adab tidak akan diterima rakyat.

Permasalahan ini dijelaskan oleh pegawai khas beliau, Azmizam Zaman Huri dalam satu sidang media dipejabatnya dekat sini petang tadi.

Azmizam memberitahu pihak media bahawa Adun Sri Muda tersebut sanggup meminta maaf kepada baginda meskipun kenyataannya telah diputar belit oleh beberapa pihak.

Katanya, satu laporan polis akan dibuat terhadap presiden Pertubuhan Perkasa Pribumi Malaysia (Perkasa) dan juga Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali di ibu pejabat polis daerah Shah Alam esok.

“Ini kerana ‘beliau hendak jadi hero mempertahankan sultan’ walhal beliaulah yang menderhaka kepada Kesultanan Melayu,” katanya.

No comments: