Monday, February 7, 2011

Hasutan: Shuhaimi tidak mengaku salah


Harakahdaily

SHAH ALAM, 7 Feb: Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pagi ini tidak mengaku bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam ekoran tulisan dalam blog peribadinya.

Beliau didakwa ekoran tulisannya pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

Shuhaimi yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi diiringi para pengikutnya serta tujuh peguam yang membela beliau.

(Gambar: Shuhaimi dikerumuni wartawan selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadii)

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Shuhaimi dituduh mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana didakwa menulis pendapatnya mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru pada 31 Disember lalu.

Shuhaimi menulis tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi yang disifatkan oleh musuh politiknya sebagai menghasut membenci Sultan Selangor.

Jika sabit kesalahan ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atu penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan beliau diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Shuhaimi diwakili tujuh peguam, diketuai peguam hak asasi yang juga Exco Majlis Peguam, Edmund Bon.

Peguam lain, termasuk Lateefa Koya, Yusmaidi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir.

Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.

(Gambar: N Surendran meminta kerajaan membuat pembaharuan terhadap Akta Hasutan)

Turut hadir pada prosiding di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali, Exco Dr Haji Yaakob Sapari, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kapar, Manickavsagam dan Exco, Teresa Kok serta Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Hapus Akta Hasutan

Kerajaan Malaysia didesak memperbaharui sistem perundangan negara dengan menghapuskan Akta Hasutan peninggalan penjajah kerana ternyata tidak memberikan keadilan kepada rakyat negara ini.

Salah seorang peguam yang dilantik mewakili Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, peguam N Surendran berkata, sudah sampai masanya undang-undang negara ini digubal semula untuk menjamin hak setiap rakyat untuk bersuara.
Surendran berkata demikian sebaik sahaja keluar dari ruang bicara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini pagi tadi selepas Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan mengikut Seksyen 4 (1) berikutan siaran pandangan peribadinya di blog beliau pada 31 Disember lepas.

Dalam pada itu, Shuhaimi dalam kenyataan kepada Harakahdaily ketika menanti wang jaminan disiapkan menyatakan, rupanya akta ciptaan penjajah British masih 'mulia' walaupun negara merdeka sudah 53 tahun.

No comments: