Wednesday, February 9, 2011

Kebebasan bersuara wakil rakyat dipertahan – MB

Wednesday, 09 February 2011 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 9 Feb – Kerajaan Selangor akan terus membela wakil rakyatnya bagi memastikan mereka komited menjalankan tugas secara beramanah dan berani bersuara untuk menegakkan kepentingan awam, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei

Justeru kerajaan negeri akan menyediakan bantuan guaman untuk membela ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei atas tuduhan hasutan di Mahkamah bersabit isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Khusrin Munawi.

Khalid menjelaskan bantuan itu untuk khidmat peguam dan bukan membayar jaminan atau sebarang denda sebagaimana tohmahan sesetengah pihak.

“Kita telah membuat keputusan sebagai Exco Negeri untuk menolong Shuhaimi berasaskan (pendakwaan) undang-undang yang dia hadapi. Sebagai seorang wakil rakyat, mereka (wakil rakyat) perlu bersuara, kita bagi sokongan kepada rakyat untuk bersuara,” kata Khalid selepas mesyuarat EXCO mingguan tengah hari tadi.

Khalid menegaskan bantuan guaman yang diberikan kepada Shuhaimi memberi mesej jelas bahawa kerajaan negeri mahukan wakil rakyat menjalankan tugas tanpa rasa khuatir terhadap ugutan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

“Kerajaan Negeri tidak beri wang untuk jaminan, tetapi memberikan kemudahan guaman dan ini perlu sebab kita mesti memberi keyakinan supaya wakil rakyat bekerja untuk (kepentingan) negeri dan menjalankan tugas tanpa rasa khuatir untuk memberi pandangan yang baik,” katanya.

Shuhaimi dituduh dibawah Akta Hasutan 1948 bersabit tulisan beliau mengenai pelantikan Khusrin yang diumumkan oleh Putrajaya tanpa berbincang dengan kerajaan negeri seperti yang menjadi kelaziman.

Susulan tindakan beberapa pertubuhan pro-Umno membuat laporan polis, mendakwa kononnya ulasan Shuhaimi itu mencemari Sultan Selangor, Pejabat Peguam Negara mengambil keputusan mendakwa beliau.

Shuhaimi menolak tuduhan itu sebagai politik jijik Umno dan menegaskan beliau tidak mengkritik Istana Selangor dan menjunjung taat setia kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah. Beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan perbicaraan ditetapkan pada 28 Mac depan.

Khalid membidas pihak yang mempertikaikan bantuan guaman yang diberi oleh kerajaan negeri kepada Shuhaimi kerana ia adalah khidmat biasa yang akan diberikan kepada mana-mana pegawai kerajaan yang menghadapi pertuduhan bersabit isu-isu yang melibatkan kepentingan kerajaan negeri.

“Perkara ini normal, serupa juga macam pegawai kita pergi MACC, kita beri khidmat guaman, itu kita buat. Ia normal, bukan melebihi dari bantuan yang kita bagi orang lain,” tegas Khalid.

Sumber: Selangorkini

No comments: