Wednesday, February 2, 2011

MAHKAMAH

Remaja Bawah Umur Didakwa Sebabkan Kematian Jurutera

SHAH ALAM: Seorang remaja yang masih di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang jurutera yang mayatnya ditemui berikat dalam sebuah kebun getah.

Lelaki berusia 17 tahun lapan bulan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan kesalahan itu terhadap Victor Liew Shan Horng, 36, pada antara pukul 9 pagi dan 11.40 pagi, 25 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan bersama tiga lagi rakan subahat yang masih bebas di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Kubur, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit bersalah.

Pesalah muda itu juga turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Victor pada pukul 9.05 pagi, 22 Ogos 2010 di Jalan Nagasari 36/1A, Jalan Desa Latamas, Seksyen 36.

Dia didakwa melarikan sebuah kereta Volvo, dua keping kad pengeluaran wang automatik dan wang tunai RM300 menjadikan jumlah kerugian RM8,000.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, pesalah muda itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zara Aina Mohd Zawawi manakala pesalah muda itu tidak diwakili peguam.

Majistret Zilfinaz Abbas menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Ogos lalu, media melaporkan mayat Victor ditemui dalam keadaan terikat di sebatang pokok dan ditemui oleh seorang penoreh getah.

Semasa ditemui, mayat tersebut lengkap berpakaian dengan kesan luka ditangan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum ditemui.

Mangsa dilaporkan hilang ketika sedang memancing di Desa Latania dan siasata polis mendapati wang sebanyak RM6,000 dikeluarkan daripada akaun bank mangsa.

Pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafie, isteri mangsa, Sheng Mei Ying, 39, merayu agar suaminya dibebaskan oleh sekumpulan lelaki.

No comments: