Tuesday, August 2, 2011

Anwar kekal Ketua Pembangkang

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk menggantikan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang memandangkan Pakatan Rakyat (PR) masih memerlukan khidmat serta pandangan beliau untuk meneruskan cita-cita PR untuk ‘merampas’ Putrajaya.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, setakat ini belum ada pemimpin yang dilihat layak untuk menggantikan kedudukan Penasihat PKR berkenaan.

“Dakwaan yang mengatakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan menggantikan Anwar adalah bohong semata-mata apatah lagi ia dikeluarkan oleh pemimpin yang mempunyai nilai moral rendah serta tidak berintegriti.

“Malah, kita lihat Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim itu tiada keperluan untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana beliau sudah tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan parti kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Shuhaimi, Anwar menjadi faktor kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Kenapa perlu pertikaian kewibawaan Anwar kerana beliau adalah aset kepada PR dan layak dijadikan ikon kerana mampu menjadi penghubung penyatuan antara Timur dan Barat.

“Setakat ini kita belum melihat pemimpin yang mampu menggantikan kedudukan beliau,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shuhaimi mempelawa Ku Li menyertai PR kerana Barisan Nasional (BN) sekarang dilihat tidak lagi mampu untuk menyatukan rakyat di negara ini.

“Walau bagaimanapun, kita tidak meletakkan sebarang prasyarat kepada beliau untuk menyertai PR. Kita tidak mahu tawarkan sebarang jawatan kepada beliau.

“Kita mahu beliau sertai kita atas keikhlasan, keterbukaan serta ketulusan diri beliau sendiri seperti yang diamalkan dalam PR,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments: