Tuesday, August 16, 2011

FELDA Akan Terjerat Jika Teruskan Saman Fitnah
Ditulis oleh Fauzan Uda Ahmad
16/08/2011
Share


SHAH ALAM 16 OGOS : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan terperangkap dalam jerat sendiri jika badan itu meneruskan saman fitnah terhadap bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi bersabit artikel 'FELDA Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu'.

Artikel yang diterbitkan akhbar Suara Keadilan pada Jun 2010, itu dikatakan memetik kenyataan Datuk Dr Tan Kee Kwong.
Bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berkata, jika kes saman itu diteruskan, FELDA terpaksa membentangkan aliran kewangannya yang dikatakan susut secara mendadak dalam tempoh singkat.
FELDA pada 25 Januari lalu bersama anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd bertindak menyaman Tan, kerana kononnya melalui artikel itu, Tan memfitnah mereka mendapat manfaat bersabit cadangan pembinaan Menara Felda di Segitiga Emas di Kuala Lumpur.
Namun Mahkmah Tinggi Kuala Lumur hari ini memutuskan untuk menolak saman bernilai RM200 juta itu setelah FELDA gagal membuktikan bahawa Tan yang membuat kenyataan itu.
Mahkamah juga mengarahkan Felda membayar kos RM70,000 kepada Dr Tan.
Mengulas perkembangan itu, Dzulkarnain berkata keputusan itu sesuatu yang agak mengejutkan berikutan rekod- rekod sebelum ini menunjukkan pimpinan Pakatan Rakyat seringkali dinafikan keadilan keatas mereka.

“Di dalam kes saman Felda terhadap Datuk Dr Tan Kee Kwong, kita melihat bahawa pihak mahkamah tidak mempunyai pilihan yang lain selain menolak saman Felda itu kerana fakta- faktanya sangat jelas sekali,” katanya.

Dzulkarnain berkata, keputusan Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof menolak saman tersebut secara tidak langsung membayangkan FELDA sememangnya dibelit pelbagai masalah termasuk dakwaan bankrap.
Suara Keadilan sebelum ini melaporkan tunai FELDA merosot hampir RM3 bilion dalam tempoh 2004 hingga 2009 dan mendapat ulasan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, Dr Tan Kee Kwong dan ADUN Seri Muda, Suhaimi Shafie.
Akhbar itu turut menyiarkan laporan projek bangunan baru Felda dan isu mengenai pulangan dividen kepada peneroka.

“ Dan apa yang disebut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang mengatakan bahawa pihak kami ini merupakan pihak yang bersalah dan sebagainya dan mendakwa kami bersalah dan sebagainya.
"Ini telah terbukti bahawa pihak mahkamah telah memberi satu keputusan yang hak kepada kami. Jadi kami sebenarnya bersyukur bahawa kes Felda ini telah dibuktikan kepada rakyat bahawa sebenarnya ada asas terhadap apa yang kami dakwa bahawa Felda mengalami dan menghadapi masalah kewangan yang getir,” jelas Dzulkarnain.

Ekoran pendedahan isu bankrap itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bingkas menarik balik permit penerbitan Suara Keadilan meskipun penjelasan telah dibuat pihak pengurusan akhbar tersebut.
Dzulkarnain buat kesekian kalinya mendesak FELDA agar mendedahkan bentuk pelaburan dan kedudukan kewangannya yang sebenar bagi memulihkan imej dan keyakinan rakyat terhadap badan itu.

Sumber: TV Selangor

No comments: