Friday, August 5, 2011

Isu Jais: Satu pandangan bersangka baik

Tuan Ibrahim Tuan Man | Aug 05, 2011 03:25:30 pm

Dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utama yang didakwa kononnya bertujuan memurtadkan sekumpulan orang Islam, diharapkan cerita di bawah dapat sedikit sebanyak membantu memberikan pandangan "sangka baik" kepada pihak-pihak yang terlibat dalam isu ini.

Ini adalah cerita sebenar daripada pengalaman saya yang sikit ini.


Semasa saya bekerja di UiTM dahulu, satu hari ketika berjumpa dengan kawan di sebuah restoran Melayu di sekitar kawasan kampus untuk membincangkan sesuatu saya telah memesan jus oren.

Semasa air buah dihidangkan, taukeh yang menyediakan air buah tersebut dalam satu cawan gelas yang ada jenama arak bermula huruf "G".

Saya memintanya dengan baik untuk menukarkan gelas tersebut.

"Bos, Air ini halal, tapi gelasnya …. Akan mengundang syak wasangka dan fitnah daripada pelajar-pelajar saya dan juga kepada kedai," kata saya.

Terdapat dua pengajaran di sebalik peristiwa ini,

Manusia seperti biasa mempunyai sangka buruk - apabila mereka ternampak saya meminum daripada gelas arak, kebanyakan pelajar, terutamanya pelajar Islam yang tidak mengenal arak, akan mempunyai syak wasangka bahawa sememangnya air dalam gelas itu ialah arak walaupun ia warna oren di sebuah restoran Melayu.

Dan taukeh pula akan dilihat sebagai sebagai peniaga yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup menjual arak.


Pengajaran 1: Janganlah mereka terlalu cepat mempercayai fitnah tanpa siasatan terlebih dahulu.

Adakah saya bersalah sekiranya saya minum dari gelas arak tersebut?

Sudah tentunya ya, kerana saya telah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah terhadap saya walaupun air yang diminum itu halal dari gelas yang bersih.

Saya tidak boleh salahkan orang yang menyangka saya minum arak daripada gelas tersebut, lebih-lebih lagi gelas yang saya pegang itu ialah gelas arak walaupun dalamnya jus buah oren.

Pengajaran 2: Janganlah kita melakukan sesuatu benda yang boleh mengundang fitnah.
Kesimpulannya, manusia digalakkan bersangka baik terhadap sesama sendiri dan juga cuba elakkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah.

Isu serbuan JAIS menjadi satu polemik besar sehingga beberapa pihak melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan tersebut kerana dua perkara di atas.

Di pihak JAIS, sebagai sebuah badan pengawal agama perlu juga bertindak mengikut lunas paraturan dan prosedur yang ada.

Keghairahan mencegah kemungkaran tidak seharusnya dilihat sebagai campur tangan terhadap agama lain, dan di waktu yang sama, usaha elemen pencegahan mesti diteruskan.

Dalam kes tersebut, jika pihak JAIS telah bertindak berdasarkan maklumat yang dia perolehi, maka tindakannya adalah tepat; namun yang mendukacitakan ialah kesahihan maklumat yang diterima JAIS tidak dapat dipastikan.

Sebagai jabatan agama, mereka harus lebih berwaspada sama ada berita atau maklumat yang diterima adalah hanya berpunca daripada sangka buruk akibat iklim politik negara yang semakin buruk sebelum bertindak.

Segalanya mesti dilakukan dengan penuh ketelusan - laporan siapa, dibuat siapa dan atas alasan/bukti apa dakwaan itu perlu disiasat.

Lantaran itu, setiap laporan untuk tindakan mesti mengikut prosedur dan disahkan dahulu maklumat yang diterima - jangan terlalu mudah mempercayai fitnah akibat sangka buruk orang lain tanpa sebarang siasatan.

Dalam melaksanakan peraturan yang ada, kita mesti mengelak sebarang elemen buruk, kerana yang akan terjejas dalam tindakan tersebut ialah kerajaan negeri dan JAIS sendiri, lebih-lebih lagi ia turut memberikan kesan terhadap nama baik Islam.

Dan kepada orang-orang Islam yang berada di majlis tersebut, mereka juga kena muhasabah diri sama ada mereka telah secara tidak sengaja menimbulkan sangka buruk dan fitnah terhadap majlis makan malam dan gereja tersebut seperti cerita saya di atas.

Diharapkan JAIS dapat tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan JAIS sendiri berkeliaran di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mohon maaflah sekiranya tersilap.

Sememangnya Islam melarang kita melakukan fitnah terhadap sesuatu perkara, tetapi di waktu yang sama jangan kita melakukan sesuatu yang boleh mengundang fitnah.

*Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kiri) ialah Ketua Penerangan PAS Pusat.

No comments: