Loading...

Monday, August 1, 2011

Permit kepada pemandu teksi jika Pakatan tadbir Putrajaya

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sedia meluluskan sepuluh tuntutan bagi memperbaiki taraf hidup pemandu teksi, termasuk menghentikan pemberian permit kepada syarikat, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, golongan pemandu teksi juga perlu berusaha bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

“Saya tidak boleh janji nak beri mahligai kepada setiap orang, tapi saya boleh janji kereta yang saudara pandu itu, saudara ada hak ke atasnya.

“Saya beri komitmen, saya akan laksanakan. Tapi saudara saudari juga perlu pastikan perubahan berlaku,”

“Kena teguh bekerja, barulah agenda kita akan berjalan,” katanya dalam pertemuan pemandu teksi dengan pemimpin Pakatan Rakyat, di majlis perhimpunan pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor semalam.

Jelas Anwar- seperti dilapor Malaysiakini- pemandu teksi perlu menjadi ejen Pakatan dengan menjelaskan dasar gagasan itu dan mengedarkan lidah rasmi Pakatan – Harakah, Suara Keadilan dan Roket – kepada pelanggan mereka.

Sepuluh resolusi yang diluluskan dalam pertemuan itu termasuk tuntutan supaya kerajaan meluaskan skim keselamatan sosial pekerja (Perkeso), meminda perjanjian sewa beli antara pemandu dan syarikat teksi.

Turut dinyatakan tuntutan supaya kerajaan merangka skim insurans dan pencen serta skim pinjaman perumahan persendirian khas bagi golongan pemandu teksi.

Kumpulan pemandu teksi berkenaan turut menuntut supaya kadar premium insurans bagi kenderaan teksi juga disemak semula supaya sesuai dengan kemampuan pemandu teksi.

Anwar berjanji bahawa beliau akan menyemak semula perjanjian yang dibuat antara syarikat teksi dan pemandu supaya syarikat berkenaan tidak dapat lagi menyewakan teksi mereka kepada kira-kira 30,000 pemandu berkenaan.

“Kita nak tengok datuk-datuk dan tan sri-tan sri ini pula kerja bawa teksi,” katanya yang menambah, isu berhubung permit teksi sememangnya menjadi masalah sejak beliau masih di dalam kerajaan.

Anwar berkata, seorang bekas menteri pernah diberikan 100 permit teksi walaupun telahpun menerima saham dalam syarikat bumiputera.Keadaan itu memeritkan golongan pemandu teksi yang terpaksa menyewa teksi daripada syarikat berkenaan.

“Tapi menteri suruh (pemandu teksi) senyum. Macam mana nak senyum, bini duduk gaduh barang makan tak cukup. Senyum hotak kamu,” katanya lagi yang disahut dengan “laungan hidup datuk seri” daripada hadirin.

Turut berucap dalam majlis anjuran Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor itu ialah penasihat DAP Lim Kit Siang, exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dan juga ADUN Kampung Tunku Lau Weng San.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17981

No comments: