Loading...

Friday, August 19, 2011

Pakar perlembagaan: Jangan tafsir kritik Jais persoal institusi raja

August 19, 2011

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Kenyataan-kenyataan mengkritik tindakan dan pendekatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan mempersoalkan institusi diraja, kata pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari.

Sehubungan itu kata beliau, agensi-agensi agama negeri tidak wajar menggunakan nama istana untuk melindungi pengurusan dan penguatkuasaan bidang kuasa masing-masing.

“Kritik Jais tidak semestinya kutuk Sultan. Sepatutnya (Majlis Agama Islam Selangor) Mais sebagai penasihat Sultan sebagai ketua agama beri nasihat yang betul kepada baginda. Bukan gunakan nama baginda untuk memberi perlindungan kepada Mais atau Jais,” kata beliau (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata penganalisis politik ini, Mais dan Jais sepatutnya faham konsep dan implikasi akauntabiliti.

“Agama selain Islam dan penganut mereka ada hak dan ini perlu dilindungi. Ini semua dikandung oleh Perlembagaan khususnya Perkara 11. Apa yang berlaku menimbulkan keraguan tentang perlindungan itu. Mais dan Jais patut faham dan bukan menyeret Sultan,” kata beliau lagi.

Pengerusi Mais Datuk Mohd Adzib Isa menegaskan, mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama secara tidak langsung tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.

Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.

“Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di bawah Mais.

“Jais adalah badan bebas... tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran,” katanya.

Justeru beliau meminta semua pihak tidak mempertikaikan tindakan Jais yang melakukan pemeriksaan ke atas majlis malam malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang mendapat kritikan banyak pihak.

Semalam, PAS menegaskan tiada pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas gereja tersebut, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi penguatkuasaan agama itu.

Pemimpin-pemimpin PAS menegaskan tidak timbul soal mempertikaikan tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.

Menjawab pendirian Mais, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menegaskan, dakwaan mengatakan ada pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi mempersoalkan kuasa Sultan Selangor.

Sumber: Malaysian Insider

No comments: