Loading...

Tuesday, April 2, 2013

DAP Julang Melayu Menjadi MB Jika Rakyat Memberi Mandat di N9



KUALA LUMPUR- DAP tetap melantik orang Melayu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan jika Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Demikian ditegaskan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook dalam wawancara eksklusif dengan Roketkini.com baru-baru ini.

Kenyataan itu sekaligus menafikan pelbagai tuduhan jahat dan fitnah yang mendakwa orang bukan Melayu akan dilantik menjadi Menteri Besar jika PR memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri itu.

Menurut Loke, fitnah sedemikian merupakan ‘modal politik lama’ yang sama ketika oposisi berjaya menawan Dun Perak pada PRU 2008 lalu.

“Fitnah begini sengaja digembar-gemburkan ejen propaganda upahan Umno Barisan Nasional (BN) untuk menakut-nakutkan orang Melayu yang semakin mesra dan menyokong PR.

“Isu itu tidak sepatutnya timbul. Sudah jelas pendirian DAP. Apa yang berlaku di Negeri Sembilan sekarang, hubungan kerjasama PR negeri ini sangat baik.

“Kita bertemu pelbagai lapisan masyarakat melalui program seperti ceramah dan aktiviti lain. Ini yang menimbulkan ketakutan mereka (Umno BN),” katanya.

Ditanya mengenai situasi kempen PR Negeri Sembilan, Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, akar umbi ketiga-tiga parti mempunyai persefahaman yang kuat dan sentiasa bersama dalam kempen turun padang yang dijalankan.

“Semua parti dalam PR perlu menumpukan agar kempen dijalankan bersama. Ini untuk memastikan penyokong akar umbi akan memberi undi kepada satu sama lain misalnya pengundi Cina akan memilih PAS dan PKR manakala pengundi Melayu akan memilih DAP,” ujar beliau.

Tambahnya, PR juga bersedia mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan daripada BN jika memenangi majoriti kerusi Dun dan akan memastikan pelantikan Menteri Besar akan diselesaikan pada malam keputusan diumumkan.

“Kita sudah bersiap sedia untuk mentadbir bermula pada hari pertama lagi,” katanya.
PAS PRU12 lalu, DAP memenangi 10 daripada 36 kerusi Dun Negeri Sembilan, PKR (empat) dan PAS (satu).

-Harakahdaily

No comments: