Thursday, April 4, 2013

Pakatan Rakyat Bersedia Pertahan Selangor


608 views
suk pakatan selangor 





















SHAH ALAM 3 APR : 

Pakatan Rakyat (PR) bersedia mempertahankan Selangor dari dirampas Umno-BN dalam pilihanraya ke-13 kerana sudah bersedia sejak sekian lama untuk pilihanraya pada bila-bila masa.

Parti komponen Pakatan juga menjangkakan bahawa pilihanraya kali ini adalah paling sengit di dalam sejarah dan penuh dengan cabaran seperti daftar pemilih yang meragukan.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, semua bahagian akan digerakkan PKR mulia hari ini bagi memastikan segala persiapan bagi menghadapi pilihanraya berjalan lancar.

“Di peringkat pentadbiran Selangor, kita sudah sedia sepenuhnya untuk pastikan kemenangan pada 2008 diulangi dengan beberapa pertambahan kerusi seperti di Permatang, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang serta membantu menambah bilangan kerusi Parlimen di Selangor seperti Sepang, Pandan dan Hulu Selangor.

“Dari sudut persediaan, kita sudah mengaktifkan secara berperingkat. Pimpinan negeri sudah mengarahkan seluruh jawatankuasa daerah mengundi di setiap Parlimen dan Dun membuka bilik gerakan 24 jam untuk buat persediaan untuk menghadapi penamaan dan hari pengundian yang dipercayai hujung bulan atau awal bulan depan,” beliau berkata kepada TVSelangor hari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, PAS lebih daripada yakin bahawa gagasan itu akan dapat mempertahankan Selangor dan mendapat mandat baru dalam pilihanraya kali ini.

“Kita sudah bersedia lama sejak tahun lalu. Memang pilihanraya ini dinantikan. Esok akan ada mesyuarat dengan Menteri Besar dan perbincangan akan diadakan,” katanya.

Adun Meru itu menjelaskan sememangnya pilihanraya kali ini dijangka paling sengit dan mencabar kerana pelbagai isu hangat berlaku di Selangor seperti daftar pemilih meragukan dengan dakwaan penglibatan warga asing.

“Kita banyak buat laporan polis dan juga kepada SPR. Ini termasuk juga yang dinyatakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengenai apa yang dilaporkan berlaku di kawasannya,” katanya.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pembubaran Parlimen pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi.


No comments: