Loading...

Monday, April 1, 2013

Soal Kerajaan Sementara selepas bubar



Tarikh Pilihan Raya Umum ke 13 di Malaysia masih lagi menjadi tanda tanya apabila Parlimen masih lagi belum di bubarkan. Rakyat masih terus menanti walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik apabila tamat tempohnya pada 28 Mac lalu.
Pastinya tarikh 28 Mac 2013 mencatatkan sejarah penting dalam sejarah pilihanraya di Malaysia, kerana buat pertama kalinya sebuah DUN di dalam Malaysia terbubar secara automatik apabila genap tempohnya lima tahun.
Ini bertitik tolak daripada tarikh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan telah mengangkat sumpah dan bersidang pada 28 Mac 2008 berdasarkan peruntukan Perkara 58, Perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan.
Walaupun DUN Negeri Sembilan telah dibubarkan secara rasmi namun Datuk Seri Utama Mohammad Hasan telah mengumumkan pentadbiran kerajaan tetap berfungsi sepertimana biasa memandangkan mereka kini berfungsi sebagai ‘caretaker government’ manakala badan kehakiman dan badan eksekutif tidak terlibat dengan apa-apa pembubaran.
Ramai orang membuat spekulasi bagaimanakah pengiraan tarikh genap lima tahun di buat. Berdasarkan peruntukan Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen haruslah berjalan dari tarikh mesyuaratnya yang pertama.
Oleh itu, berdasarkan maksud peruntukan di atas ini bermakna Parlimen Malaysia hanya mempunyai tempoh tamat sah laku sehingga 28 April 2013. Ini kerana kesemua ahli Parlimen telah mengangkat sumpah dan mula bersidang pada 28 April 2008.
Ada yang bertanya, bolehkah kiraan tarikh mengangkat sumpah dikira sebagai tarikh mula mesyuarat bersidang kerana di dalam peruntukan Perlembagaan hanya menyebut tarikh mula bersidang dan bukannya tarikh mula mengangkat sumpah.
Jawapannya adalah, secara konvensyen apabila seseorang ahli Parlimen mengangkat sumpah maka selepas itu akan diteruskan dengan persidangan mesyuarat.

Interpretasi secara liberal
Penulis sering kali mengingatkan pembaca bahawa di dalam kes Loh koi Choon, Hakim Raja Azlan Shah mengingatkan bahawa Perlembagaan harus diinterprestasikan secara liberal dan luas dan bukannya dengan cara yang sempit.
Ini bermaksud apabila perkataan yang digunakan didalam Perlembagaan di rujuk maka ia harus diinterpretasikan secara luas seperti mengangkat sumpah dan bersidang di atas.
Sangat signifikan juga Perlembagaan Persekutuan ini dirujuk serta diselang-selikan dengan Perlembagaan Negeri memandangkan Perlembagaan Negeri merupakan cedokan daripada Perlembagaan Persekutuan bagi penulis menerangkan isu ini di sini.
Dengan berlakunya pembubaran ini maka apa yang pasti ADUN Negeri  Sembilan yang telah berkhidmat genap 60 bulan ini mereka layak mendapat ganjaran dan saraan sepertimana serupa di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
Walau pun, DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik dan akan disusuli negeri-negeri lain dan Parlimen, apa yang lebih penting ketika ini adalah kewujudan ‘caretaker government’ atau kerajaan sementara.
Ini kerana idea penubuhan kerajaan sementara telah pun menjadi salah satu isi penting kepada Jawatankuasa Pilihan Reformasi Pilihanraya yang telah ditubuhkan pada 2011 bagi menambah baik perjalanan pilihanraya di  Malaysia.
Kerajaan sementara bolehlah didefinisikan sebagai individu atau kumpulan manusia yang dilantik bagi mentadbir kerajaan bagi satu tempoh masa  tertentu (kebiasaannya singkat) sehingga sebuah kerajaan baru yang diabsahkan (legitimate) terbentuk.
Definisi ini berdasarkan kertas kajian ‘Caretaker Government during  Election: A Comparative Study of Pakistan, Bangladesh and India,  Pakistan, 2006 Institute of Legislative Development and Transparency.’
Ada banyak sebab kerajaan sementara boleh dibentuk namun kebiasaannya adalah i) negara mengalami zaman darurat; ii) kerajaan
sedia ada menghadapi undi tidak percaya dan kalah di dalam Parlimen dan iii) Parlimen dibubarkan secara normal dan akan menghadapi pilihanraya.

Zaman darurat
Contohnya ketika tahun 1969 negara menghadapi zaman darurat, satu jawatankuasa MAGERAN di bentuk yang bertindak mengambil alih kuasa kerajaan sebelum Parlimen dibenarkan berfungsi kembali pada tahun 1971.
Pada tahun 1996 Presiden Farooq Leghari telah membubarkan Dewan  Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen) Pakistan dan membatalkan kerajaan Perdana Menteri ketika itu, Benazir Bhutto.
Malik Meraj Khalid Rektor Universiti Islam Antarabangsa telah dilantik sebagai Perdana Menteri Kerajaan sementara.
Oleh itu, kita harus faham pemerintah yakni Presiden atau Raja berhak melantik sesiapa sahaja yang tidak berkepentingan tetapi berkebolehan bagi memimpin kerajaan sementara.
Ini juga yang terjadi pada tahun 1959 apabila YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah meletakkan jawatannya dan jawatan beliau ditanggung Tun Abdul Razak sebagai Pemangku Perdana Menteri selama dua bulan bagi memastikan beliau dapat berkempen dengan efektif dan efisyen bagi Parti Perikatan.
Tetapi ideaini tidak disambut selepas Perdana Menteri itu dan akhirnya ia tidak menjadi good governance bagi parti pemerintah selepas zaman Tunku.
Menyorot susur galur idea kerajaan sementara ini popular selepas Perang Dunia kedua apabila Perdana Menteri Churchill daripada Parti Konservatif ketika itu telah mendapat maklumat awal berhubung akan adanya perletakan jawatan di kalangan Menterinya yang datang daripada Parti Buruh.
Justeru, Churchill telah meletakkan jawatannya sebelum tindakan diambil oleh Menteri Parti Buruhnya tanpa berunding dengan mereka terlebih dahulu.
Oleh itu, Raja telah mengarahkan sebuah kerajaan sementara yang diketuai  oleh Churchill bagi memastikan urusan harian kerajaan berjalan seperti biasa.
Menurut Prof Sir Ivor Jenning di dalam bukunya ‘Cabinet Government’, ia bukanlah tradisi British melantik caretaker government sewaktu pilihanraya berlangsung.
Namun menjelang pilihanraya umum Britain pada tahun 1945 ketika itu, mereka perlu memilih di antara dua, sebuah kerajaan Parti Konservatif atau sebuah kerajaan Parti Buruh yang kuat.  Pada waktu yang sama urusan Raja (kerajaan) perlu berjalan seperti biasa menyebabkan idea kerajaan sementara menjadi popular ketika itu.

Pentadbiran sehari-hari
Justeru, idea terhadap cadangan penubuhan kerajaan sementara ini penting bagi memastikan kerajaan sementara ini menjalankan urusan pentadbiran sehari-hari tanpa menyalahguna kuasanya untuk parti-parti tertentu.
Menurut Jagdish Chandra Johari dalam bukunya ‘The Constitution of India, The Politico Legal Study’ menyatakan ketika kerajaan sementara berfungsi mereka tidak boleh a) memulakan atau mewar-warkan dasar kerajaan yang baru b)berjanji atau memulakan program baru c) menyediakan elaun, kenaikan gaji dan emolumen dan d) tidak boleh membuat majlis-majlis yang boleh dihadiri Menteri.
Manakala bagi ‘Caretaker Conventions Australia 2010′ menetapkan pula  kerajaan sementara ini perlu mengelakkan daripada membuat sebarang keputusan dasar yang besar yang akan mengikat kerajaan akan datang; membuat sebarang perlantikan utama dan memasuki mana-mana kontrak atau perjanjian.
Walaupun asasnya, perlantikan kerajaan sementara ini kebiasaannya terdiri daripada kerajaan yang terdahulu. Namun bagi memastikan konsep semak dan imbang maka wakil pembangkang boleh juga dijemput menyertai kerajaan sementara.
Selain itu, terdapat juga kaedah di mana wakil perkhidmatan awam yang berfungsi memainkan peranan ini. Mahu tidak mahu kita harus juga menerima bahawa perlantikan kerajaan sementara ini merupakan undang-undang tidak bertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan atau secara tidak langsung memberikan kuasa budibicara Yang DiPertuan Agong untuk melantik kerajaan sementara atau peralihan.
Ia tidak menjadi titik pertikaian kerana Yang DiPertuan Agong juga boleh  melantik wakil pembangkang sebagai sebahagian daripada peruntukan yang boleh di baca di dalam Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.
Isu kewujudan kerajaan sementara sangat kritikal pada PRU ke 13 yang bakal diadakan memandangkan pilihanraya merupakan hak setiap warganegara untuk menentukan calon yang terbaik bagi mewakili suara mereka di dalam Parlimen.
Menurut Dr. Mohd Faisal Syam di dalam ‘Proposal for a Caretaker Government during the Election Period for submission to the Malaysian Parliamentary Select Committee for Electoral Reform’ pada tahun 2011, beliau menyatakan pilihanraya juga menjadi peluang bagi warganegara untuk memberi atau menghukum calon-calon yang sedia ada atas asas integriti dan pencapaian mereka.
Eksploitasi parti pemerintah
Kebimbangan beliau ini ada asasnya apabila berlakunya eksploitasi  terhadap sumber dan jentera kerajaan oleh parti pemerintah ketika dalam tempoh masa pilihanraya telah menyebabkan ketidakadilan terhadap proses pilihanraya sepanjang pengalaman pilihanraya di Malaysia.
Akhirnya walaupun pelbagai pihak telah mencadangkan kita melihat konvensyen kerajaan sementara/peralihan di beberapa buah negara seperti di UK, Australia dan sebagainya.
Kita harus fahami konvensyen ini tidak mempunyai kuasa mengikat maksudnya jika masih lagi berlaku pelanggaran terhadap tatacara kelakuan yang dilakukan kerajaan sementara seperti menjanjikan lebuhraya, binaan sekolah dan wang ringgit ketika mana pemimpinnya memerintah maka ia tetap tiada gunanya.
Namun, penulis juga memandang positif usaha Perdana Menteri meminta Peguam Negara menderaf tatacara bagi Kerajaan Sementara pada masa yang sama sangsi dengan usaha yang tergesa-gesa ini.
Penulis teringat kata-kata almarhum guru penulis, Dr Che Norlia Mustafa. Beliau menyatakan undang-undang yang dibuat seharusnya melihat keadaan mikro dan makro sesebuah negara itu.
Implikasi sosial
Malahan pada masa yang sama juga, signifikan undang-undang itu serta implikasinya terhadap sosial masyarakat harus diambil kira.
Jika berterusan mengambil cedokan undang-undang tanpa melihat keadaan  persekitaran Malaysia, penulis bimbang kita akan menjadi seperti Akta Perhimpunan Aman.
Pada peringkat awalnya terdapat banyak percanggahan dalam Akta ini akibat kerakusan pihak tertentu yang mencedok tanpa berunding dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, parti-parti politik, NGO, SUHAKAM, universiti dan lain-lain lagi.
Oleh yang demikian, di titik akhirnya adalah semangat keterbukaan jugalah yang lebih penting.
Jika kita menyorot sejarah kerajaan sementara ini kembali, ada sesuatu yang kita tertinggal dalam meneliti sejarah Perdana Menteri Churchill apabila mempopularkan idea kerajaan sementara.
Beliau telah menghadiri ‘PostDam Conference’ bersama Menteri Luarnya Anthony Eden pada 17 Julai 1945 yang dihadiri juga Presiden Truman, Amerika Syarikat dan Stalin, Perdana Menteri USSR ketika itu.
Perdana Menteri Churchill telah membawa juga Clement Attlee yang juga Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri Bayangan dengan Ernest Bevin (Menteri Luar Bayangan) walaupun mereka dari parti politik yang berbeda.
Peristiwa ini telah menjadi ingatan penting berhubung apa yang dimaksudkan dengan semangat kerajaan sementara dan menonjolkan lagi Churchill sebagai seorang negarawan yang ulung di Britain ketika itu.
Justeru, adakah keberanian yang sama ada pada Perdana Menteri kita atas maksud membawa semangat ‘caretaker government’. Sama-sama kita nantikan.
*Penulis ialah pelajar Doktor Falsafah bidang undang-undang Perlembagaan di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

fmt

No comments: