Tuesday, April 9, 2013

Manifesto BN Tidak Mampu Tangani Masalah Ekonomi Rakyat - DSAI




KUALA LUMPUR 8 APRIL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Manifesto BN tidak akan mampu membebaskan negara dan rakyat dari kesempitan ekonomi.
Paling ketara menurutnya, Manifesto BN langsung tidak mempunyai roh reformasi untuk mengubah kepincangan negara.
“Secara umum, saya tidak yakin Manifesto BN secara menyeluruh dapat membebaskan negara dan rakyat dari kesempitan ekonomi, politik dan sosial sedia ada yang begitu mencengkam dan menghimpit.
ciplak“Paling ketara Manifesto BN tidak mempunyai roh reformasi yang amat diperlukan untuk merubah sistem bobrok dan penuh kepincangan, seperti yang diharapkan rakyat.
“Sangat jelas bahawa reformasi menyeluruh dan holistik dari segi sosio-ekonomi, struktur, institusi, politik, urus tadbir dan perundangan tiada tempat dalam kerangka polisi BN,” katanya pada kenyataan.
Menyifatkan Manifesto BN ketandusan idea dan diulang semula tanpa perincian, Anwar berkata ini ketara berbeza dengan manifesto Pakatan Rakyat yang lebih kondusif.
“Tanpa sebarang agenda reformasi yang komprehensif, usaha meningkatkan daya saing jangka panjang Malaysia di peringkat antarabangsa supaya setanding dengan negara-negara maju lain akan terus dikekang,” tegasnya.
“Pada masa sama, Manifesto BN ketandusan idea baharu dan kontang perinciannya yang dipakej semula, berbanding gagasan segar yang dibawa Manifesto Pakatan.
“Lebih 90 peratus dari program yang disenaraikan sudah pun diketahui rakyat dan berbentuk terlalu umum tanpa sebarang perincian khusus,” kata Anwar.
Penyandang Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, lebih malang apabila Manifesto BN tanpa segan silu menciplak Manifesto Pakatan yang mulanya ditentang sebelum terpaksa mencedok idea tersebut.
Turunkan harga kereta“Ketandusan idea baharu akhirnya Datuk Seri Najib Razak terpaksa menciplak beberapa dasar utama Pakatan untuk disuntik ke dalam Manifesto BN terutamanya cadangan penurunan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat dengan merombak Dasar Automotif Nasional.
“Selain itu pemberian permit teksi individu secara langsung kepada pemandu teksi dan penyeragaman harga barangan keperluan di seluruh negara yang menjadi salah satu isu utama di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Berpegang teguh kepada prinsip percukaian adil seperti disaran Pakatan, Anwar yakin harapan rakyat mahukan penghapusan langsung duti eksais kereta, bukannya dipotong pada kadar 30 peratus seperti dijanjikan Manifesto BN.
Tambahnya, Manifesto BN masih diselubungi mentaliti lapuk dan kepercayaan usang bahawa hati dan pemikiran rakyat boleh dibeli.
“Tunjang kempen BN jika diteliti inisiatif sedia ada dan pakej tawaran manifestonya jelas berpaksi kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mahu ditingkatkan bayaran tahunannya kepada RM1,200 bagi keluarga dan RM600 bagi individu bujang.
“Cadangan ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM7.2 bilion setiap tahun. Saya yakin ia akan terus meningkat saban tahun, sejajar dengan pertumbuhan semulajadi populasi dan kegagalan berterusan BN meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah melebihi paras kelayakan sebanyak RM3,000 bagi keluarga dan RM2,000 bagi individu bujang,” kata Anwar. – NS

keadilandaily

No comments: