Monday, October 7, 2013

Laporan Audit Negara: Eksklusif Bersama Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM)


LAPORAN Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini mendapat reaksi pelbagai pihak, malah ramai yang terkejut dengan jumlah pembaziran  dan ketirisan yang dilaporkan.
Ada dalam kalangan masyarakat memberi maklum balas negatif terhadap laporan 32 jilid itu dan ada juga yang memberikan pandangan bahawa laporan ini penting untuk membaiki kekurangan dalam pentadbiran negara.
Institut Integriti Malaysia (IIM), sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN), tidak ketinggalan memainkan peranannya.
Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Azimah Ghazali dan jurufoto Safwan Mansor bersama Presiden IIM, DATUK DR MOHD TAP SALLEH  yang  mengulas laporan tersebut.
Boleh Datuk berikan pandangan secara umum berhubung Laporan Audit 2012 kali ini?
Kalau lihat pembentangan kali ini, tidak dibuat setahun sekali tetapi tiga kali supaya isu-isu dibangkitkan itu boleh ditangani dengan cepat tak tunggu hingga hujung tahun baru dibentangkan.
Pembentangan pertama dan kedua telah dibuat, manakala kali ketiga pada hujung tahun. Ini untuk membantu kerajaan mengatasi atau membetulkan perkara dibangkitkan pihak audit. Pada waktu sama, ia dapat memastikan perkara yang tidak sepatutnya berlaku boleh dibetulkan.
Selain itu, ada yang bertanya kepada saya, mengapa isunya lebih kurang sama dengan tahun-tahun lepas, tidak banyak perbezaan. Ianya mengundang pertanyaan mengapa tidak adanya perubahan dalam agensi kerajaan. Ini isu yang dibangkitkan.
Pada mata kasar saya ada peningkatan baik terhadap perkara yang ditegur pihak audit sebelum ini. Misalnya jumlah ketirisan itu nampak berkurangan, saya tak buat dengan terperinci, tapi jika dilihat sepintas lalu, kerugian agak berkurangan dari segi kosnya, itu pandangan saya.
Yang kedua, perkara  dari aspek penyelewengan dan rasuah juga berkurangan jika dilihat sepintas lalu, jika dibandingkan tahun-tahun sebelum ini. Jika ada kata ia lebih serius dari sebelum ini, itu pandangan masing-masing.
Pada saya ada tiga sebab atau aspek, laporan kali ini yang seharusnya boleh diperbaiki, pertama dari segi ‘competency’ pegawai kerajaan, ia berbeza dengan penyelewengan. Misalnya pembelian tidak berhemah, atau tidak dijalankan dengan baik.
Kedua dari segi komitmen, segelintir anggota penjawat awam tidak menunjukkan komitmen 100 peratus pada kerja mereka, contoh nak kerja senang tak buat perbandingan harga.
Yang ketiga dari segi pemantauan oleh pegawai atasan iaitu pembelian barang pada harga tak sepatutnya, atau terdapat individu tidak layak untuk menggunakan peralatan dibeli, menyebabkan setelah barang dibeli tidak tahu untuk dikendalikan.
Misalnya orang yang nak menjalankannya tidak diberi latihan sepatutnya. Pada saya tiga perkara ini yang perlu diperbaiki. Penyelewengan tidak dinafikan ada seperti disebut, tapi kalau ditanya pandangan saya secara umum, ia adalah disebabkan tiga perkara ini.
Antara kesemua laporan, pendedahan manakah paling mengejutkan dan dianggap membazir wang rakyat?
Semuanya membazir, seringgit pun membazir. Tapi jika nak lihat angka, mestilah kita lihat yang besar sekali, berapa juta habis. Jika projek harga besar, tentulah kerugiannya besar.
Tapi tidak bermakna kerugian projek kecil okey atau tidak memeranjatkan.  Pada saya besar kecil hal kedua, tapi kita buat pembelian perkara-perkara yang kita tak pantau dan teliti.
Satu lagi mungkin menjadi kerisauan masyarakat, adakah tindakan telah diambil terhadap pegawai yang telah melakukan perkara ini tempoh hari atau pada tahun-tahun lalu. Ini yang menjadi persoalan masyarakat.
Kita perlu ingat, kita bercakap tentang anggota 1.4 juta di sektor awam, tapi yang menyeleweng kumpulannya tak ramai. Cuma segelintir, tapi ini yang jadi pandangan masyarakat. Tapi jika kita tak pantau ini yang terjadi. Namun jika sedikitpun mereka yang lakukan perkara tak betul, kita tetap tak boleh terima, kerana ia membabitkan wang rakyat.
Seperti juga dibangkitkan Laporan Audit mengenai projek terbengkalai. Ia dibangkitkan setiap tahun, tetapi masyarakat tidak nampak apa tindakan kerajaan dan penyelesaian telah diambil. Isu itu sungguhpun kecil dengan bajet kerajaan yang berbilion-bilion, tapi boleh dipersoalkan kerana ini wang rakyat. Masyarakat cuma mahu tahu adakah orang yang dah buat salah ini dah dikenakan tindakan.
Baru-baru ini usaha kerajaan mewujudkan sistem Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara secara dalam talian yang dilancarkan Ketua Setiausaha Negara 30 Mei lalu, boleh memberi informasi yang betul kepada masyarakat. Usaha baik dengan Laporan Audit juga dipantau dan tindakan diambil terus hasil teguran ini.
Perdana menteri pun sudah sebut tidak boleh tangguh atau beri ruang pada mereka yang disahkan bersalah seperti menyeleweng atau salah guna kuasa terutama daripada segi pengendalian wang rakyat, tak boleh kompromi.
Adakah laporan audit ini akan memberi kesan kepada imej sesebuah kementerian atau ini adalah perkara biasa yang sering berlaku setiap tahun?
Ya, ia beri imej pada pegawai-pegawai dan kementerian terlibat termasuk menteri, walaupun menteri-menteri tidak terlibat secara langsung.
Sekarang pun kerajaan bagi ‘star rating’ kepada kementerian terlibat. Bagaimanapun informasi berkaitan perlu diberikan kepada masyarakat bahawa tindakan telah ataupun sedang diambil kepada mereka yang salah. Selama ini, jika ada tindakan pun masyarakat tak tahu, kerana ia tidak diumumkan.
Sedangkan masyarakat mahu tahu. Jadi kerajaan perlu memberi informasi dan berkomunikasi.
Misalnya saya bayar cukai, saya juga nak tahu.
Apakah langkah yang Datuk rasa wajar diambil setiap kementerian untuk memastikan tidak berlakunya pembelian melampau bagi sesuatu program atau pembelian yang dilaksanakan?
Tiga perkara yang saya sebutkan awal tadi. Mereka yang diamanahkan perlu ada competency. Misalnya jangan mudah diperdayakan syarikat terlibat ketika pembelian barang-barang, kedua mesti ada komitmen kerana ini wang kerajaan, wang rakyat, dia mesti menentukan supaya kos efektif, harga terbaik. Ini semua integriti. Ketiga, pemantauan pihak pengurusan atasan, ini juga penting.
Misalnya, dalam sesuatu jabatan ada beribu kakitangan, jika tak dipantau oleh ketua-ketua atau pengurusan tinggi, ketiga-tiga perkara ini boleh berlaku.
Namun jika ada penyelewengan, ia boleh dirujuk kepada SPRM ataupun polis.
Setiap pendedahan yang dibuat Jabatan Audit mempunyai maklum balas dari setiap kementerian atau jabatan terlibat. Pada pandangan Datuk, apakah fungsi maklum balas ini? Adakah ia semata-mata untuk menepis dakwaan dan perlukah didedahkan di media?
Saya ada dua pandangan di sini. Pada pengetahuan saya, jika ada teguran audit, sebelum dimasukkan dalam laporan tahunan, pasti adanya perbincangan antara agensi berkenaan. Jadi, seharusnya tindakan pembetulan boleh dibuat sebelum laporan dikeluarkan.
Audit akan membentangkan kepada kementerian atau jabatan, isu-isu yang mereka dapati apabila membuat audit. Seharusnya jabatan atau kementerian terlibat mengambil tindakan seperti disarankan pihak audit.
Jika tidak diambil tindakan, maka, dengan sendirinya ini akan keluar dalam laporan.
Banyak agensi beri maklum balas akan ambil tindakan, tetapi sepatutnya bertindak sebelum laporan audit dikeluarkan.
Misalnya, ada kementerian sepatutnya boleh memungut wang daripada kontraktor gagal melaksanakan kerja tetapi ia tidak dibuat, jadi ini mungkin kecuaian babitkan competency, sepatutnya ini dielakkan.
Apakah perlu setiap kementerian atau jabatan memberi respons terhadap pendedahan Laporan audit, seperti dilakukan oleh KDN yang menafikan tiada penyelewengan aset PDRM pada pihak media baru-baru ini?
Perkara diperkatakan berkenaan kehilangan pistol dan barangan, jadi ini pun perlu siasatan. Tapi jika tidak silap saya Ketua Polis Negara pun telah mengatakan mereka akan menubuhkan kumpulan siasatan untuk menyiasat apa yang ditegur pihak audit.
Persoalannya di sini, kalau pihak polis mungkin mempunyai 20,000 ke 30,000 kenderaan di seluruh negara, jadi ini mungkin tidak adil jika kita ingat ketua polis atau kementerian tahu semua sekali, ini perlukan siasatan rapi.
Tapi menakutkan juga, jika kita tahu misalnya senapang hilang. Mungkin dari segi fizikalnya ia hilang atau dari segi pengiraan auditnya salah kita tak tahu, jadi perlu siasatan.
Dalam hal ini apabila kementerian ditegur, pertama kali biasanya mereka akan memberikan penjelasan kepada pihak audit.
Tetapi, sama ada perlu diberitahu kepada pihak media, bagi saya tiada masalah, kerana informasi ini dah menjadi ‘public domain’.
Kalau perlu diberitahu kepada pihak media, tiada masalah jika pihak media mahu menyiarkan maklum balas diberi.
Misalnya, jika aset tak hilang, buktikan dan bagi tahu pada media. Jadi pendedahan bagus untuk memperbetulkan keadaan. Ini kadangkadang boleh membantu.
Adakah Laporan Audit 2012 ini penting dalam memastikan gejala rasuah dalam negara ini dapat dibendung, terutama bagi kakitangan kerajaan?
Ini satu daripada tindakan untuk mengurangkan penyelewengan dan perlakuan rasuah perkhidmatan awam.
Seperti saya kata, jumlah kakitangan awam ini ramai, projek dan kos terlibat pun banyak.
Mana-mana negara pun memang ada Jabatan Audit yang memantau kakitangan dan pentadbiran kewangan negara. Ia mesti, susah jika Jabatan Audit tiada.
Sebab itu, audit ini diasingkan daripada jabatan awam yang biasa.
Pelantikan Ketua Audit Negara misalnya, yang dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong. Laporannya juga dibentangkan ke Parlimen untuk semua orang meneliti, itu satu sebab audit diperlukan.
Selain audit, diwujudkan IIM untuk membuat tindakan awal seperti memberi penerangan, bercakap kepada kakitangan kerajaan di semua peringkat, membentangkan isu-isu kepada Jawatankuasa Kabinet, apa-apa penambahbaikan diperlukan dan semua ini ada tindakan.
Baru-baru ini, dalam tiga bulan lepas kerajaan juga telah umumkan penubuhan Unit Integriti dalam semua agensi kerajaan dan kementerian.
Ia akan pantau bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi pentadbiran dan pelaksanaan projek. Unit Integriti ini sudah dimulakan dalam banyak agensi dan berharap sebelum sebelum hujung tahun ini kebanyakannya telah dapat menubuhkannya.
Ia bukan sahaja sebagai unit audit dalaman dari segi kewangan, tetapi pantauan segi pengurusan, projek dan kakitangan kerajaan, menyeluruh.
Pegawai integriti diberi latihan, ia sudah dimulakan sejak dua tahun lalu, manakala dilancarkan pertengahan tahun. Unit ini juga pantau penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya.
Jadi, Jabatan Audit ini perlu ada, belum ada lagi negara yang tiada audit. Audit dalaman pula libatkan pegawai-pegawai audit sendiri. Mereka sudah lakukan tugas diperingkat mereka.
Tetapi biasalah manusia, misalnya dalam keluarga kita ada juga yang mencuri, menagih dadah. Adakah kita tak pantau atau suka dia buat, kita tak tahu walaupun boleh cegah. Masalahnya orang mencuri ini bukan depan kita.
Sebab itu pemantauan perlu dibuat, oleh pihak pengurusan termasuk audit. Maknanya lebih berwaspada. Polis pun ramai, tetapi ada juga yang mencuri.
Jadi susah nak jawab jika tanya kenapa peranan audit tidak dapat dilihat.
Sistem dan struktur dah ada, sebab itu kita kata perlu ada komitmen.
Ada pihak yang jadikan laporan ini sebagai modal untuk menunjukkan berlakunya pembaziran dalam pentadbiran kerajaan. Apa komen Datuk, adakah ini wajar?
Ini masalah kita di negara ini. Jika di negara lain lepas habis pilihan raya, mereka mentadbir negara. Sama ada pembangkang atau pentadbir negara mereka sama berganding bahu untuk betul dan baiki negara. Tetapi kita di sini lain.
Dah habis pilihan raya pun, benda ini masih lagi jadi isu politik. Walhal seperti kata perdana menteri, jika ada cadangan baik, terangkan. Bukan jadikan ia isu politik.
Masalah kita di Malaysia, semua perkara dipolitikkan, sedangkan isu-isu audit ini adalah isu sesama kita.
Teguran audit ini libatkan semua negeri dan parti, bukan isu politik, tidak boleh kita bangkitkan begitu.
Apa nasihat Datuk kepada kementerian dan jabatan dalam memastikan nama mereka tidak termasuk atau bersih dalam laporan audit tahun hadapan?
Pada kali ini dalam Laporan Audit 2012 ada kementerian A yang langsung tidak terlibat dengan masalah, tetapi kementerian B misalnya ada tidak mengikut kehendak audit seperti tidak mengikut prosedur, tidak pantau dengan teliti, seleweng dan sebagainya.
Saranan saya kepada kementerian dan jabatan yang tidak ditegur atau tiada isu masa ini, mesti ambil tindakan kekalkan prestasi supaya tidak ditegur seperti kementerian lain. Kementerian ditegur pula perlu ambil tindakan segera.
Jangan hanya nafi, ‘ini bukan silap kita’, jika benda dah berlaku makna kesalahan telah berlaku, manakala mereka yang telah melakukan kesilapan dikenakan tindakan.
Itu sahaja pada saya. Jangan cuba selamatkan diri dan selindungkan perkara itu.
Pada saya orang Malaysia ini, jika kita mengaku kita silap, tak jadi masalah.
Masalahnya, hanya jika cuba selindung dan nafikan perkara salah, itu yang masyarakat tidak setuju.
Akui dan betulkan. Kita akan gunakan Laporan Audit ini sebagai contoh apabila kita bercakap dengan agensi-agensi kerajaan bahawa ini perkara yang kita tak sedar berlaku.
Perkara ini hanya perlu sedikit perubahan dari segi pendekatan dan komitmen, tak perlu perubahan kakitangan atau kewangan lebih.
Betulkan sikap sahaja boleh selesaikan banyak masalah. Jika sebulan sekali baca doa sahaja, ia tidak bantu. Perlu rancang tindakan khusus,. Jabatan itu harus betulkan parameter, (semangat) kakitangan perlu diperingatkan setiap hari hingga menjadi darah daging mereka.
Patut tanam nilai, pantau, sebab itu perlunya ketua jabatan.
Sinar Harian


Friday, October 4, 2013

Diskaun 25% Cukai Taksiran Kepada Penghuni Pansapuri Kos Rendah


SHAH ALAM, 4 OKT : Pemilik pangsapuri kos rendah di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) layak menerima diskaun cukai taksiran 25 peratus.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan, berkata pemberian diskaun itu tertakluk kepada pemilik bermastautin atau mendiami sendiri petak/unit di sesebuah pangsapuri kos rendah berharga bawah RM42,000.
“Pemilik juga perlu mengemukakan hakmilik strata sebagai bukti dokumen pemilikan rumah mereka.
“Bagi pemilik tiada atau masih belum membuat pindah milik hakmilik strata, mereka boleh mengemukakan surat perjanjian jual beli sebagai bukti dokumen pemilikan rumah,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat pembentangan Belanjawan MBSA 2014.
Beliau berkata, pemilik boleh mendapat perakuan sah pemastautin daripada mana-mana Badan Pengurusan Bersama (Pengerusi/Setiausaha sahaja) atau Ahli Majlis.
Mohd Jaafar, berkata pemilik perlu membuat permohonan diskaun cukai taksiran pada setiap penggal kerana pemberian diskaun cukai taksiran tidak diperoleh secara automatik.
“Waris pemilik juga layak dapat pengurangan diskaun ini, sama ada pemilik masih hidup atau meninggal dunia,” katanya.
Untuk menyemak senarai pangsapuri layak memohon, pemilik boleh merujuk kepada Bahagian Pesuruhjaya Bangunan atau menghubungi di talian 03-5510513 sambungan 380 / 397 / 532 / 525.

selangorku

Jika GST Dilaksana 70% Rakyat Malaysia Akan Terbeban

Reaksi Seorang Yang Jahil Maklumat
SHAH ALAM: Kerajaan masih berteka-teki sama ada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2014 pada 25 Oktober nanti.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sama ada mahu mengumumkannya secara rasmi pada waktu tersebut atau tidak.
“Tunggu saja pengumuman Bajet nanti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Melalui GST, semua rakyat dikehendaki membayar cukai 4% yang akan dikenakan terhadap semua barang dan perkhidmatan.
Bagaimanapun Ahmad Husni sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 40 barangan keperluan asas termasuk tepung, beras dan gula akan dikecualikan sekiranya GST dilaksanakan.
Sementara itu, beliau turut menegaskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan seperti yang dirancang meskipun dibidas mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.
“Kita akan teruskan,” katanya yang enggan mengulas lanjut tentang kenyataan Mahathir.
Mahathir pada Selasa lalu dilaporkan berkata, pemberian dua kali BR1M itu satu pembaziran kerana akan menyebabkan rakyat menjadi malas.
Sebaliknya, mencadangkan supaya kerajaan melatih dan mencungkil bakat baru supaya golongan kurang berpendapatan dapat menjana sumber pendapatan mereka sendiri.
Sementara itu, ditanya sama ada penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat akan menjejaskan Malaysia, beliau berkata krisis itu tidak akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi tempatan.

fmt

PR Dengan Tegas Mencadangkan Satu Jawatankuasa Majlis Tindakan Bagi Menangani Masalah Ketirisan


KUALA LUMPUR 2 OKTOBER: Pakatan Rakyat mencadangkan satu Jawatankuasa Majlis Tindakan diwujudkan bagi memastikan segala ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara diambil tindakan tegas.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara.
Ini berikutan setiap kali laporan dibentangkan, masih terdapat ketirisan yang berlaku dan insiden ini tidak pernah diambil tindakan tegas.
“Ia bagi membincangkan bentuk tindakan yang perlu diambil bagi mereka yang didapati menyeleweng.
“Kita lihat laporan audit merekodkan terlalu banyak ketirisan berlaku terutamanya dalam isu-isu pembelian aset sepertimana tahun-tahun lepas. Tapi tidak ada satu pun tindakan tegas diambil walaupun perkara itu dilaporkan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali melihat isu ketirisan menjadi kelaziman di dalam agensi kerajaan yang dipandang remeh tanpa penguatkuasaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut kesal apabila laporan diserahkan pada saat akhir perbahasan agar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dapat membahasnya pada sidang kali ini.
“Kita akan perincikan perkara ini dan bahaskan pada sesi Parlimen yang akan datang,” katanya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut bersetuju dengan cadangan tersebut dan melihat ia langkah terbaik untuk menangani insiden yang selalu berulang.
“Laporan ini menunjukkan ketirisan akibat dari salah guna kuasa dalam urus tadbir kerajaan, sentiasa berulang setiap tahun.
“Ini mengesahkan kerajaan tidak pernah ambil iktibar daripada apa yang berlaku serta tidak memandang berat cadangan Ketua Audit,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Tegas beliau, sepatutnya kerajaan mengenalpasti apakah bentuk mekanisma untuk mengelak perkara yang sama tidak berulang.
“Kelemahan ketara kerajaan adalah langsung tidak mengambil perhatian terhadap laporan audit.
“Hanya sekadar memenuhi peraturan undang-undang yang setiap kementerian perlu diaudit, tindakan tiada dan tahun depan benda yang sama diulangi,” katanya, lapor Harakah Daily.

PR Sepakat Memilih Proses Aman




Pemimpin Pakatan Rakyat telah mencapai kata sepakat untuk memilih proses aman dan mengelak protes jalanan dalam usaha mereka untuk meningkatkan pandangan pembangkang.

Walaupun pada hakikatnya Pakatan mendapat undi majoriti dalam pilihan raya umum yang baru lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu memilih untuk membangkang secara berhati-hati dengan mengelakkan protes jalanan.

"(Perdana Menteri), Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menunjukkan sebarang penghargaan (tentang mengelakkan protes), itulah sebabnya kita mahu dialog," kata Anwar di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Permatang itu menambah bahawa Pakatan akan terus menentang pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang diluluskan tengah malam tadi.

"Kami (Pakatan) akan terus menentang (pindaan) dengan melancarkan siri kempen," katanya.

Ditanya sama ada Pakatan tidak berdaya untuk menentang pindaan itu, Anwar menjawab: "Ya, anda betul. Kami telah memilih proses aman."

Beliau menambah bahawa gabungan itu telah mencapai kata sepakat untuk mengelak demonstrasi jalanan kerana telah melihat terlalu banyak persengketaan di banyak negara.


malaysiakini

Thursday, October 3, 2013

Ketirisan Kerajaan , PR Menawarkan Kerjasama


KUALA LUMPUR - PR menawarkan satu kerjasama dengan kerajaan bagi membentuk sebuah majlis yang dianggotai tiga individu untuk membantu menyelesaikan masalah ketirisan dalam jabatan kerajaan yang berlaku sejak sekian lama.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, majlis tersebut akan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disertai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Menurutnya, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) tidak lagi efektif dalam menyelesaikan masalah itu.

"Kita cadangkan tubuh majlis tiga orang ini supaya, tindakan dapat diambil terhadap pegawai yang menyeleweng. Selain itu kita juga dapat pastikan reformasi yang lebih sistematik dapat diadakan dalam jabatan kerajaan.

"Kalau tiada tindakan tegas diadakan, maka kita akan lihat lagi laporan seperti ini pada tahun hadapan, jam dinding dari harga RM100 jadi RM3800, pengimbas (scanner) yang murah mencecah RM14,000," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, tawaran kerjasama dalam pembentukan majlis itu dibuat apabila melihat Laporan Audit Negara yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara semalam menunjukkan tiada perubahan dilakukan dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

Ketika ditanya adakah usaha PAC selama ini tidak memberikan sebarang hasil, beliau berkata, PAC hanya mampu mengeluarkan laporan tanpa boleh mengambil apa-apa tindakan tegas.

"PAC dikawal oleh kerajaan, lihat nisbah 9-5 juga kita tahu memang tidak berkesan langsung. Terus terang saya kata dengan struktur sekarang tiada kuasa menghukum orang tidak takut.

"Mereka (PAC) hanya sediakan laporan, hanya lepaskan batuk ditangga, tetapi selepas seminggu orang akan lupa," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, kerajaan tidak mengambil iktibar di atas cadangan yang telah dibuat oleh Jabatan Audit Negara.

"Kita lihat saban tahun ada ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dalam urus takbir kerajaan," katanya.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, tawaran yang dibuat PR untuk bekerjasama dengan kerajaan adalah bagi mengatasi masalah yang berlaku.

"Saya lihat trend sekarang, laporan audit ini sering kalio diberikan pada saat-saat akhir parlimen, untuk elak ahli parlimen kritik atau tegur salah guna kuasa yang berlaku.

"Seperti sedia maklum, ahli parlimen PR akan teliti setiap laporan itu dan kami akan bahas dalam perbahasan akan datang," katanya.

Selain daripada pembentukan majlis tiga orang itu, PR juga mencadangkan pemberian tender terbuka secara kompetatif dilakukan bagi mengurangkan penyalah gunaan kuasa.

PR akan menyerahkan surat rasmi berhubung cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam masa terdekat.


MC

Laporan Ketua Audir Negara: Pembangunan Feldajaya Lemah


PETALING JAYA:  Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan pengurusan projek pembangunan Feldajaya adalah kurang memuaskan berdasarkan pengauditan yang dijalankan antara bulan November 2012 sehingga Januari 2013.
Antara kelemahan dalam pengurusan projek pembangunan Feldajaya berkemungkinan kajian dijalankan selepas projek pembinaan dimulakan menyebabkan projek tidak berdaya maju.
Projek Pembangunan Feldajaya mula dilaksanakan pada tahun 2003 iaitu Mempaga di Pahang, Raja Alias di Negeri Sembilan dan Trolak di Perak dengan keluasan 417.77 ekar melibatkan kos pembangunan berjumlah RM206.62 juta.
Kesemua 80 lot pasar awam dan 16 lot hentian bas di Feldajaya Raja Alias dan Trolak dibina dengan kos sejumlah RM2.22 juta serta 10 lot medan selera  tidak mempunyai penyewa.
Manakala tunggakan bayaran sewa bulanan bagi rumah banglo, rumah kedai, medan selera dan hentian bas ialah RM1.31 juta dan tempoh tunggakan tertinggi adalah 72 bulan.
“Perjanjian kediaman tidak dipatuhi oleh pembeli di mana 22 buah rumah kediaman dijadikan premis perniagaan dan 40 buah rumah kediaman diubahsuai tanpa kebenaran.
“Projek pembangunan di Feldajaya Trolak dijalankan di atas tanah pertanian yang belum ditukar status kepada tanah pembangunan, menyebabkan pembeli rumah masih belum menerima kelulusan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan akibat status tanah tersebut,” kata laporan tersebut.
Manakala, perjanjian perkhidmatan pengurusan dan penyenggaraan tidak diperbaharui menyebabkan tunggakan tuntutan kerja penyenggaraan oleh FESSB sejumlah RM330,924.
Semakan audit juga mendapati kajian projek pembinaan Feldajaya Mempaga, Raja Alias dan Trolak lewat 14 dan 12 bulan.

Banglo disalah guna
“Semakan Audit selanjutnya terhadap kajian kemungkinan yang dijalankan di Feldajaya Raja Alias dan Trolak mendapati projek tersebut adalah tidak berdaya maju.
“Ini disebabkan tiada faktor pemangkin kepada pembangunan seperti pembinaan institut penyelidikan berkaitan pertanian dan perubatan, institusi pendidikan dan pembangunan pelancongan.
“Selain itu, kajian yang dijalankan di Feldajaya Trolak mendapati permintaan pasaran sedia ada kurang berbanding pembangunan yang dirancang manakala sehingga kini, Felda masih belum mengemukakan kajian kemungkinan bagi Feldajaya Mempaga,” tambah laporan tersebut.
Semakan selanjutnya mendapati hanya satu daripada 10 lot medan selera di Feldajaya Raja Alias yang disewakan. Ini disebabkan kedudukannya yang tidak strategik iaitu bertentangan dengan medan selera sedia ada yang lebih mudah diakses dan bersebelahan dengan jalan utama.
Pada pendapat Audit, kemudahan awam yang tidak digunakan sepenuhnya menyebabkan pembaziran dan kerugian hasil kepada Felda.
Manakala ada juga pemilik yang menyalahguna banglo mereka dengan 21 unit rumah banglo telah dijadikan homestay iaitu sebanyak enam unit di Mempaga, lima di  Raja Alias dan 10 di Feldajaya Trolak.
Selain itu, sebuah rumah banglo di  Mempaga telah dijadikan pusat rawatan kecantikan

fmt

PRK Sg Limau: Penamaan 23 Okt , Pengundian 4 November


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November dan hari penamaan calonnya pula pada 23 Oktober ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada hari pengundian awal dan terdapat 27, 222 orang pengundi yang akan mengundi di kawasan itu.
PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak pada Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan serius.
Azizan menyandang kerusi DUN itu selama lima penggal dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, beliau mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd Ali daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 2,774 undi.
Speaker DUN Kedah, Datuk Md Rozai Shafian telah menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Limau kepada Pengarah SPR Kedah, Juhari Abdul Rahman di pejabat Speaker DUN di Wisma Darul Aman pada Ahad lalu bersama sijil kematian Azizan.
"Dakwat kekal akan digunakan dalam pilihan raya kali ini sebagai mana PRK Kuala Besut. Pengundi akan mencelup jari telunjuk mereka sebelum dibenarkan mengundi.
"Pilihan raya kali ini menyaksikan tiada hari pengundian awal disebabkan tiada anggota tentera atau polis yang berdaftar di kawasan itu.
"Petugas SPR dan kakitangan media yang ingin memohon untuk mengundi pos boleh mengemukakan permohonan mereka mulai hari ini dan tarikh tutupnya dua hari selepas hari penamaan calon," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya hari ini.
Abdul Aziz memaklumkan sebanyak 17 pusat mengundi akan dibuka yang menempatkan 58 saluran dan Dewan Dato' Madi, Yan akan digunakan sebagai pusat penamaan calon.
Katanya, Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan akan digunakan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi dan kos pilihan raya kali ini dianggarkan sebanyaj RM1.3 juta.
"Sebanyak 492 petugas SPR akan mengelolakan pilihan raya kecil ini dan daftar pemilih yang akan digunakan adalah dari tahun 2012 sehingga sebelum 26 September lepas.
"Pegawai Pengurus PRK ini adalah Pegawai Daerah Yan Abdul Rashid Othman dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus dan tiga ketua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya.
"Seramai 25,356 pengundi Melayu, Cina 1,842 orang, India dengan 15 orang dan pengundi daripada etnik Sabah dan Sarawak seramai 9 orang," katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan pertimbangan untuk mengadakan pilihan raya kali ini tidak mengambil kira faktor tarikh Bajet 2014 tetapi merujuk kepada tarikh lain seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perayaan Deepavali dan sambutan Awal Muharam.
Menurutnya, tarikh tersebut juga dipilih bagi memberi keselesaan kepada pemilihan Umno pada 19 Oktober dan pemilihan PAS pada 21 November. - 3 Oktober, 2013.

malaysianinsider

Pindaan PCA Di luluskan Justeru Statistik Jenayah Wajib Turun


Kesemua 12 pindaan Rang Undang-Undang yang dibentang di Parlimen bersama Akta Pencegahan Jenayah (PCA) ditarik balik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri mengusulkan untuk menangguh bacaan kedua untuk pindaan yang seharusnya berjalan hari ini.
Bagaimanapun, pindaan terhadap PCA diluluskan tengah malam tadi, sekaligus memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menahan suspek tanpa perbicaraan untuk tempoh dua tahun.
Wakil pembangkang berhujah, kuasa yang mahu diberikan itu melanggar prinsip keadilan dan boleh disalah guna serta menggelarnya ISA 2.0 merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dimansuhkan pada 2011. – 3 Oktober, 2013.

malaysianinsider

Sewaktu Pemerintahan Lampau , EXCO BN Terlibat Dalam Soal Kadar Sewa PPRT


SHAH ALAM 2 OKT : Keputusan untuk menaikkan kadar sewa di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang merupakan keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Exco pada Ogos 2007, iaitu sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Kenaikan itu menjadikan kadar sewa daripada RM124 kepada RM250 dengan alasan kos penyelenggaraan yang meningkat.
Bagaimanapun, pada Disember 2008, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menurunkan kadar sewa yang dinaikkan kepada kadar asal kerana tidak mahu rakyat terbeban dengan kadar sewa yang tinggi.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata Kerajaan Negeri membuat keputusan terbabit berdasarkan had kelayakan pendapatan penghuni di PPRT itu.
“Kita bagi kelonggaran kepada penghuni yang berpendapatan RM1,500 ke bawah yang mempunyai banyak tanggungan, warga emas atau Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mengekalkan kepada RM124 sebulan.
“Manakala, kadar sewa lebih dari RM1,500 dan berkemampuan kita kekalkan kepada RM250. Penurunan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang rata-ratanya berpendapatan rendah.” katanya ketika dihubungi.
Iskandar berkata demikian bagi menafikan dakwaan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berhubung kenaikan kadar sewa terbabit.
Iskandar menjelaskan selain bertindak mengurangkan kadar sewa itu, pada tahun lalu, Kerajaan Negeri turut prihatin dengan membelanjakan sebanyak RM3.2 juta untuk penyelenggaraan PPRT di Lembah Subang dan Kota Damansara bagi kerja-kerja pembaikian lif dan pam air.
Noh sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri menindas penghuni PPRT terutamanya di Lembah Subang apabila gagal melaksanakan kerja pembaikan kemudahan tetapi menaikkan kadar sewa.
Beliau mendakwa kadar sewa dinaikkan daripada RM124 (zaman Umno-BN) kepada RM250 ketika ini.

selangorku

Wednesday, October 2, 2013

Adakah RUU Ini Diteliti Peguam Negara? - Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR 2 OKT : Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bercanggah dengan ketetapan tidak mengembalikan kuasa tahanan tanpa bicara.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, berkata Peguam Negara sebelum ini pernah menegaskan usaha mengembalikan Rang Undang-undang (RUU) itu perlu dibincang terlebih dahulu.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal berbuat demikian sebaliknya meneruskan bacaan kali kedua pindaan RUU itu pada sidang Dewan Rakyat semalam.
“Saya bangkitkan perkara ini kerana ada percanggahan dengan ketetapan yang dibuat Peguam Negara pada Ogos tahun ini dalam bengkel bersama KDN di Hotel Sunway.
“Peguam Negara dengan jelas menolak sebarang usaha untuk mengembalikan semula tahanan tanpa bicara dan menegaskan supaya ia dibincang terlebih dahulu.
“Ini tidak berlaku. Apakah KDN ada masalah dgn Majlis Peguam? Adakah RUU ini diteliti oleh Peguam Negara?” katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang semalam.
Beliau berkata, Artikel 4A akta menyebut ia berkuasa mengembalikan semula tahanan tanpa bicara selama dua tahun tetapi ia bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Pusat sebelum ini.
Katanya, ia juga bercanggah dengan janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 yang bercadang untuk menghapuskan ISA dan Ordinan Darurat (EO).
“Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk tidak lagi benarkan tahanan tanpa bicara tetapi RUU itu dengan bercanggah dengan janji beliau,” katanya.
Beliau turut kesal dengan tindakan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan ruang dalam perbahasan RUU itu dan akan mendesak supaya ia dirujuk kepada jawatankuasa pilihan terlebih dahulu.
Katanya, tindakan itu boleh dilakukan mengikut peraturan 54 di mana sesuatu RUU itu boleh diserahkan kepada jawatankuasa pilihan sebelum pembacaan kali kedua.
“Saya akan terus mendesak supaya perkara ini dilakukan untuk memberi ruang perbahasan yang menyeluruh bagi mendapatkan maklumat dalam menggubal RUU yang penting ini.
“PKR komited untuk bersama PDRM menangani jenayah tetapi kita mahu perbahasan ini dibuat secara menyeluruh dan dapat dibuat dgn baik,” katanya.

selangorku

Laporan Ketua Audit Negara: Merumuskan Hadiah IPT Selangor Capai Sasaran


KUALA LUMPUR 1 OKT: Laporan Ketua Audit Negara 2012 merumuskan bahawa program Hadiah Anak Masuk Universiti yang diperkenal Kerajaan Selangor adalah baik dan mencapai sasaran.
Mengikut laporan itu, audit yang dijalankan mendapati 87.8 peratus atau sebahagian besar golongan sasar menerima manfaat dari program tersebut.
“Semakan audit mendapati prestasi Hadiah Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) adalah baik kerana bilangan penerima wang bagi bulan Julai 2008 hingga 2012 adalah tinggi iaitu 32,130 (87.8%) daripada 36,000 yang disasarkan.
“Maklum balas yang diterima terhadap impak program ini kepada penerima wang hadiah juga adalah menggalakkan,” kenyataan itu dipetik Harakah Daily.
Program pemberian hadiah kepada anak Selangor yang melanjutkan pelajaran ke universiti diperkenal kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mulai 1 Julai 2008, lima bulan mentadbir negeri itu selepas menang Pilihan Raya Umum ke-12.
Bantuan tunai RM1000 diberi kepada mereka yang ditawarkan melanjutkan pengajian bagi peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPT.
Dalam pada itu, Laporan Audit juga turut membuat beberapa syor bagi meningkatkan lagi kejayaan program ini.
Ia termasuk soal dokumen pengesahan, senarai pihak yang dibenar memperakui dokumen dan polisi bertulis untuk kelulusan permohonan secara rayuan.

selangorku

Laporan Ketua Audit Negara: JKM Perlu Tingkat Efisiensi


Penerima bantuan yang meninggal dunia masih menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sabah, Kelantan dan Negeri Sembilan. Perkara ini didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara yang mendapati ketirisan jabatan kerajaan dan dibacakan di Parlimen semalam.
Di bawah prosedur operasi standard, pegawai yang ditugaskan memberi wang bantuan perlu berkunjung ke rumah penerima sekiranya wang berkenaan tidak dituntut dalam jangka masa tiga bulan.
Jika penerima didapati berpindah atau meninggal dunia, nama mereka perlu dikeluarkan daripada senarai penerima dengan segera.
Tetapi, di Semporna dan Sandakan di Sabah, bayaran di antara RM150 dan RM450 oleh JKM masih diberikan kepada 12 penerima yang meninggal dunia, malah nama mereka juga sudah direkodkan sebagai meninggal dunia.
Di Kelantan, terdapat 93 penerima meninggal dunia antara 2005 hingga tahun lalu. Daripada jumlah keseluruhan, 41 penerima mendapat bantuan berjumlah RM110,700 dan dimasukkan terus ke dalam bank mereka dengan sejumlah RM65,691 wang tersebut dikeluarkan oleh waris.
Bagi bantuan tunai, nama 52 penerima masih berada dalam senarai penerima baucer bayaran meskipun tidak dituntut sehingga 26 bulan.
Di Negeri Sembilan, 40 penerima yang meninggal dunia sejak 2008 dari Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson, masih diberikan bantuan di antara RM100 dan RM200 sebulan.
Daripada jumlah keseluruhan, RM45,350 dibayar kepada 15 penerima antara 2008 dan 2011.
Bayaran juga dibuat kepada 154 individu walaupun nama mereka tiada dalam pangkalan data JKM.
“Bayaran itu boleh dipersoalkan kerana penerimanya sangat dicurigai,” menurut laporan Ketua Audit Negara.
Di Melaka pula, 302 daripada 2,314 penerima berumur 20 tahun dan ke atas mendapat bantuan JKM meskipun peraturan JKM negeri menetapkan penerima yang layak mesti berusia 40 tahun ke atas.
“Ada permohonan yang diluluskan kepada penerima berusia 20 tahun,” dedah laporan itu yang mendapati kejadian berkenaan berlaku kerana mendapat sokongan daripada pemimpin tempatan atas dasar mendesak.
JKM Sabah memaklumkan wang bantuan masih diberikan kepada penerima meninggal dunia kerana kelewatan waris atau ketua kampung memaklumkan kematian penerima.
JKM Pasir Mas dan Kota Bharu pula memaklumkan telah mengambil tindakan segera sejak Disember 2012 selepas Jabatan Audit mengesahkan penerima meninggal dunia dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Jabatan berkenaan turut berikrar akan mengeluarkan senarai mereka yang meninggal dunia dan akan membuat pemeriksaan berkala dengan JPN.
JKM Negeri Sembilan pula memberitahu mereka menuntut kembali wang berkenaan daripada waris manakala empat lagi diminta membuat bayaran ansuran.
Bagaimanapun, RM5,680 masih tidak dapat dikesan. – 2 Oktober, 2013.

themalaysianinsider

Tuesday, October 1, 2013

Kenyataan Noh Omar Kenaikkan Kadar Sewa PPRT Adalah Pembohongan

PPRT

SHAH ALAM 30 SEPT : Kerajaan Negeri menafikan dakwaan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berhubung kenaikan kadar sewa di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang.
Setiausaha kepada Exco Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Kamaruzaman Ahmad Nor berkata kadar sewa PPRT masih lagi dikekalkan pada kadar RM124 sebulan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menyiasat perkara itu bersama pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana PPRT terbabit di bawah seliaan MBPJ.
“Setakat ini, kadar sewa kepada yang layak masih RM124. Namun, Kerajaan Negeri bersama MBPJ akan menyiasat dakwaan itu,” katanya menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Kamaruzaman berkata siasatan itu akan dilakukan kerana tidak mahu pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja menimbulkan isu terbabit untuk dipolitikkan.
Difahamkan sebelum ini, penduduk flet terbabit membayar sewa sebanyak RM250, bagaimanapun Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat prihatin dengan menurunkan kadar sewa bulanan kepada RM124 pada April 2010.
Penurunan kadar sewa daripada RM250 sebulan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang rata-ratanya berpendapatan rendah.
Noh sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri menindas penghuni PPRT terutamanya di Lembah Subang apabila gagal melaksanakan kerja pembaikan kemudahan tetapi menaikkan kadar sewa.
Beliau mendakwa kadar sewa dinaikkan daripada RM124 (zaman Umno-BN) kepada RM250 ketika ini.
selangorku

Diskaun Kompaun Letak Kereta Dari 1 Okt Hingga 1 Nov

MPK-grafik
KLANG 30 SEPT : Orang ramai berpeluang menjelaskan kompaun letak kereta yang dikenakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan harga RM15 bermula 1 Oktober hingga 1 November depan.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz berkata MPK menawarkan pengurangan itu bertujuan membantu pelanggan yang tidak berkesempatan untuk menjelaskan kompaun terdahulu.
“Orang ramai digesa untuk mengambil peluang yang ada untuk menjelaskan kompaun-kompaun mereka sebelum tempoh tawaran tamat pada 1 November 2013,” kata beliau.
Semakan kompaun boleh dibuat di Kaunter Ibu Pejabat MPK dan Pejabat Cawangan MPK di Jalan Tengku Kelana manakala bayaran boleh dibuat di semua kaunter-kaunter sah.
Selain itu, Norfiza berkata orang ramai kini boleh mula mendapatkan kupon letak kereta di Ibu Pejabat Majlis MPK dan cawangannya serta ejen-ejen yang dilantik selaras dengan inisiatif Sistem Letak Kereta Berkupon yang diperkenalkan 1 Disember 2012 lalu.
Setiap kupon berharga RM0.50 satu dan sah digunakan selama satu jam. Ia perlu digunakan di semua parkir awam.

selangorku

Jahil Maklumat , Menteri JPM Kata Malaysia Antara Negara Terbersih Dari Gejala Rasuah


KUALA LUMPUR - Malaysia antara negara terbersih daripada perbuatan rasuah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Shahidan menafikan dakwaan Malaysia sebuah negara yang kerap mengamalkan rasuah dan menegaskan dakwaan tersebut tidak wajar dikeluarkan kerana akan memberi kesan kepada pihak lain.

Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai sebuah agensi memerangi rasuah yang terbaik di dunia iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Malaysia adalah kerajaan yang paling telus, adil dan bijaksana," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian  ketika mengulas mengenai kajian dibuat Ernst & Young yang menyenaraikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang kerap mengamalkan rasuah.

Beberapa hari lalu, sebuah portal berita melaporkan hasil kajian tersebut dengan menyatakan rakyat Malaysia gemar mengambil jalan pintas bagi mencapai sesuatu sasaran sewaktu dalam kegawatan ekonomi.

Laporan tersebut juga menyenaraikan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) gagal dalam menjalankan peranannya untuk mentransformasikan bidang ekonomi negara.

Menurut Shahidan, mana-mana pihak yang ingin menyatakan pandangan harus mempunyai fakta yang tepat supaya tidak mengelirukan penerima maklumat.

Sinar Harian