Thursday, October 3, 2013

Laporan Ketua Audir Negara: Pembangunan Feldajaya Lemah


PETALING JAYA:  Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan pengurusan projek pembangunan Feldajaya adalah kurang memuaskan berdasarkan pengauditan yang dijalankan antara bulan November 2012 sehingga Januari 2013.
Antara kelemahan dalam pengurusan projek pembangunan Feldajaya berkemungkinan kajian dijalankan selepas projek pembinaan dimulakan menyebabkan projek tidak berdaya maju.
Projek Pembangunan Feldajaya mula dilaksanakan pada tahun 2003 iaitu Mempaga di Pahang, Raja Alias di Negeri Sembilan dan Trolak di Perak dengan keluasan 417.77 ekar melibatkan kos pembangunan berjumlah RM206.62 juta.
Kesemua 80 lot pasar awam dan 16 lot hentian bas di Feldajaya Raja Alias dan Trolak dibina dengan kos sejumlah RM2.22 juta serta 10 lot medan selera  tidak mempunyai penyewa.
Manakala tunggakan bayaran sewa bulanan bagi rumah banglo, rumah kedai, medan selera dan hentian bas ialah RM1.31 juta dan tempoh tunggakan tertinggi adalah 72 bulan.
“Perjanjian kediaman tidak dipatuhi oleh pembeli di mana 22 buah rumah kediaman dijadikan premis perniagaan dan 40 buah rumah kediaman diubahsuai tanpa kebenaran.
“Projek pembangunan di Feldajaya Trolak dijalankan di atas tanah pertanian yang belum ditukar status kepada tanah pembangunan, menyebabkan pembeli rumah masih belum menerima kelulusan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan akibat status tanah tersebut,” kata laporan tersebut.
Manakala, perjanjian perkhidmatan pengurusan dan penyenggaraan tidak diperbaharui menyebabkan tunggakan tuntutan kerja penyenggaraan oleh FESSB sejumlah RM330,924.
Semakan audit juga mendapati kajian projek pembinaan Feldajaya Mempaga, Raja Alias dan Trolak lewat 14 dan 12 bulan.

Banglo disalah guna
“Semakan Audit selanjutnya terhadap kajian kemungkinan yang dijalankan di Feldajaya Raja Alias dan Trolak mendapati projek tersebut adalah tidak berdaya maju.
“Ini disebabkan tiada faktor pemangkin kepada pembangunan seperti pembinaan institut penyelidikan berkaitan pertanian dan perubatan, institusi pendidikan dan pembangunan pelancongan.
“Selain itu, kajian yang dijalankan di Feldajaya Trolak mendapati permintaan pasaran sedia ada kurang berbanding pembangunan yang dirancang manakala sehingga kini, Felda masih belum mengemukakan kajian kemungkinan bagi Feldajaya Mempaga,” tambah laporan tersebut.
Semakan selanjutnya mendapati hanya satu daripada 10 lot medan selera di Feldajaya Raja Alias yang disewakan. Ini disebabkan kedudukannya yang tidak strategik iaitu bertentangan dengan medan selera sedia ada yang lebih mudah diakses dan bersebelahan dengan jalan utama.
Pada pendapat Audit, kemudahan awam yang tidak digunakan sepenuhnya menyebabkan pembaziran dan kerugian hasil kepada Felda.
Manakala ada juga pemilik yang menyalahguna banglo mereka dengan 21 unit rumah banglo telah dijadikan homestay iaitu sebanyak enam unit di Mempaga, lima di  Raja Alias dan 10 di Feldajaya Trolak.
Selain itu, sebuah rumah banglo di  Mempaga telah dijadikan pusat rawatan kecantikan

fmt

No comments: