Sunday, October 13, 2013

Pusat Harus Sahut Demokrasi Matang Kerajaan PR Selangor


SHAH ALAM, 13 OKT: Barisan Nasional (BN) yang berkuasa di peringkat persekutuan disaran menghormati Perlembagaan Persekutuan dengan berhenti mempolitikan Institusi Parlimen demi kepentingan politik mereka.
Antara tindakan yang dimaksudkan, termasuklah menafikan peruntukkan kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) dan enggan memberi keistimewaan yang sewajarnya kepada Ketua Pembangkang.
Sebaliknya menurut Naib Presiden PKR, Tian Chua, BN wajar mencontohi Kerajaan Selangor yang mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang negeri itu dengan memberi elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.
“Kerajaan Persekutuan haruslah mengambil pendekatan sama seperti mana Kerajaan Selangor bagi memastikan Ketua Pembangkang dan Wakil Rakyat PR menjalankan fungsi semak dan imbang dengan lebih berkesan lagi.
“Kami juga mewakili suara rakyat, berkhidmat untuk rakyat, dengan peruntukan dan faedah lain yang sewajarnya tentu banyak membantu kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat negara ini,” kata Ahli Parlimen Batu itu kepada TV Selangor.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menganggap langkah Kerajaan Negeri itu sebagai mendahului Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri lain terutama di bawah pentadbiran BN.
“Di negeri lain masih ada yang tidak mempunyai jawatan Ketua Pembangkang secara rasmi, seperti Pahang contohnya dan bagi saya ini sesuatu yang malang untuk kemajuan demokrasi di negara kita, sedangkan mereka ini dipilih rakyat.
“Di pusat, ketua pembangkang tidak menikmati keistimewaan sewajarnya, hak kami untuk mendapat peruntukkan juga disekat.
“Ini tidak berlaku di negara maju atau negara yang sihat sistem demokrasinya, mereka memberikan pengiktirafan yang besar kepada pembangkang khususnya Ketua Pembangkang kerana kesedaran mereka menghormati pilihan rakyat,” ujar Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 9 Oktober lalu menimbangkan dan meluluskan keistimewaan tambahan untuk Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor yang dilaksanakan di bawah Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Negeri Ke-13 yang dijangka bersidang pada 19 November akan datang.

selangorku

No comments: