Thursday, October 10, 2013

Ketua Umum Bentangkan Belanjawan PR Di Parlimen


PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat di Parlimen pada 21 Oktober ini.

Bagaimanapun katanya sebelum belanjawan itu dibentangkan kepada Ahli Parlimen dan rakyat, beliau akan memberikan gambaran awal kerangka itu dalam satu forum di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jumaat ini.

"Saya akan berikan sedikit gambaran tentang kerangka Belanjawan Pakatan Rakyat, Jumaat ini.

"...Insya-ALLAH kita akan bentangkannya pada 21 Oktober ini di Parlimen," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut perkembangan terkini belanjawan pembangkang berikutan Bajet 2014 akan dibentangkan kerajaan pada hujung bulan ini.

Pada 28 September tahun lalu, Pakatan Rakyat membentangkan Belanjawan 2013, iaitu dua hari lebih awal daripada Barisan Nasional.

Belanjawan yang bertemakan 'Ekonomi Rakyat Negara Berkat' itu mempunyai tujuh teras utama iaitu reformasi dan ketelusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), membina daya saing ekonomi, mengangkat martabat wanita, hasil minyak untuk negeri, menurunkan harga kereta, reformasi membanteras jenayah serta perumahan untuk rakyat.

Jumlah perbelanjaan dalam Belanjawan PR tahun lalu berjumlah RM233 bilion, iaitu lebih rendah daripada Bajet kerajaan yang melibatkan peruntukan RM251.6 bilion.

Sinar Harian


No comments: