Monday, October 28, 2013

1200 Bakal Jemaah Umrah Mendakwa Ditipu Agensi


Sebuah agensi pelancongan didakwa menipu kira-kira 1,200 bakal jemaah umrah dari seluruh negara, melibatkan kerugian RM4.8 juta selepas penerbangan mereka ditunda beberapa kali dan gagal menuntut kembali wang mereka.
Difahamkan agensi pelancongan beribu pejabat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur gagal menguruskan penerbangan jemaah umrah dijadualkan pada Jun tahun ini walaupun bayaran penuh RM3,999 seorang dibuat sejak 2012.
Seorang daripada perunding kumpulan jemaah yang dilantik agensi itu, Qurratul 'Ain Hasman, 25, berkata dia bersama-sama 54 jemaahnya hanya menyedari ditipu selepas jemaah yang dijadual berlepas pada Jun tahun ini terkandas atas alasan masalah dana dan visa.
"Pada mulanya saya dimaklumkan wakil agensi, terdapat masalah berkaitan dana tidak mencukupi yang seharusnya dibiayai syarikat korporat bagi menanggung RM1,500 setiap jemaah daripada harga sebenar pakej umrah iaitu RM5,500," katanya kepada pemberita ketika berhimpun bersama 100 mangsa lain di hadapan pejabat agensi itu hari ini.
Bagaimanapun mereka hampa selepas pejabat itu ditutup dengan notis yang tertera “premis ditutup sementara” dan usaha menghubungi wakil agensi juga gagal.
Qurratul `Ain mendakwa beliau difahamkan kira-kira 1,200 bakal jemaah termasuk di Sabah dan Sarawak mengambil pakej umrah agensi itu gagal menunaikan umrah mereka.
Beliau mendakwa pada 7 Jun lepas, ketua pegawai eksekutif agensi itu yang mengadakan perjumpaan dengan mereka, menawarkan dua pilihan sama ada meneruskan penerbangan yang dijanjikan pada Ogos dan September lepas atau mengambil wang yang dibayar 45 hari selepas tarikh cek dikeluarkan.
"Tetapi jemaah gagal menunaikan cek itu selepas dimaklumkan pihak bank akaun atas nama syarikat itu telah ditutup manakala jemaah yang dijanjikan penerbangan pada Ogos dan September sekali lagi berputih mata," katanya.
Sehubungan itu, katanya dia bersama jemaahnya membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju pada 5 Oktober lepas.
Seorang lagi perunding bagi agensi itu yang dikenali sebagai Asmuni, juga kesal selepas gagal menunaikan hajat 27 jemaahnya dan hanya dimaklumkan pada saat akhir iaitu sehari sebelum berlepas ke tanah suci pada 6 Jun.
"Saya tuntut wang namun cek tendang yang diterima dan kerana rasa tertipu saya buat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna pada 1 Oktober lepas," katanya yang menanggung kerugian kira-kira RM16,000 bagi menunaikan umrah bersama isteri dan dua anaknya.
Nasib yang sama turut menimpa Rohany Sulaiman, 55, yang menerima cek tendang selepas mendakwa membuat bayaran RM8,000 untuk mengerjakan umrah bersama-sama suaminya.
"Penerbangan saya sepatutnya berlepas 26 Ogos tapi dibatalkan. Saya dan suami juga telah buat suntikan vaksin di hospital swasta yang menelan kos beratus ringgit dan hajat untuk menunaikan umrah tidak kesampaian sedangkan segala persiapan telah dibuat," katanya kesal. -- 

Bernama, 27 Oktober, 2013.

No comments: