Loading...

Monday, October 21, 2013

Fokus Belanjawan 2014 PR Mempertahankan Rakyat Dari Krisis Ekonomi Negara


SHAH ALAM, 20 OKT : Belanjawan Alternatif 2014 yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan fokus kepada usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Belanjawan Alternatif itu akan dibentangkan pada Isnin (21 Okt) di Parlimen sebelum Bajet 2014 dibentang Perdana Menteri pada 25 Oktober ini.
“Kita menjangka, negara akan mengalami krisis ekonomi dengan kadar hutang semakin meningkat, pelaburan berkurangan, harga barang meningkat dan beban kepada rakyat juga bertambah,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Bengkel Persediaan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Menerusi Bengkel Belanjawan tadi, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat rancak membincangkan draf belanjawan 2014 secara teliti.
“Ia kemudiannya dibentangkan kepada kami selaku pimpinan utama ketiga-tiga parti untuk membuat keputusan muktamad,” kata Anwar.
Anwar berkata, PR merancang untuk mengadakan sesi dialog dengan Kerajaan Pusat untuk membincangkan isu kepentingan rakyat.
“Kita mengusulkan Perdana Menteri dan kepimpinan BN tumpu tadbir negara, urus ekonomi dan tangani isu besar demi kepentingan rakyat yang terabai sekian lama sejak PRU-13 Mei lalu.
“Perlunya perbincangan dan dialog dalam isu ekonomi, perbalahan kaum dan agama, peningkatan kadar jenayah dan isu pengurusan kerajaan termasuk rasuah seperti yang dilaporan ketua audit negara,” kata Anwar.
PR sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian sebelum satu belanjawan bayangan dibentangkan sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.
Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mendapatkan satu formula terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan bayangan Pakatan Rakyat sekaligus mencabar Belanjawan 2014 yang dijangka akan dibentangkan Najib Razak.
Jawatankuasa yang dikordinasikan Institut Rakyat itu dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdasarkan kementerian tertentu dan bidang kepakaran masing-masing.
Sembilan kumpulan tersebut, kajian isu nasional dan antarbangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan dan pekerjaan; pertanian, perladangan dan pembangunan luar bandar; pengangkutan dan pembangunan bandar; pengurusan sumber dan kelestarian; masyarakat, kebajikan dan gender serta polisi berkaitan Sabah dan Sarawak.

selangorku

No comments: