Wednesday, October 2, 2013

Laporan Ketua Audit Negara: JKM Perlu Tingkat Efisiensi


Penerima bantuan yang meninggal dunia masih menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sabah, Kelantan dan Negeri Sembilan. Perkara ini didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara yang mendapati ketirisan jabatan kerajaan dan dibacakan di Parlimen semalam.
Di bawah prosedur operasi standard, pegawai yang ditugaskan memberi wang bantuan perlu berkunjung ke rumah penerima sekiranya wang berkenaan tidak dituntut dalam jangka masa tiga bulan.
Jika penerima didapati berpindah atau meninggal dunia, nama mereka perlu dikeluarkan daripada senarai penerima dengan segera.
Tetapi, di Semporna dan Sandakan di Sabah, bayaran di antara RM150 dan RM450 oleh JKM masih diberikan kepada 12 penerima yang meninggal dunia, malah nama mereka juga sudah direkodkan sebagai meninggal dunia.
Di Kelantan, terdapat 93 penerima meninggal dunia antara 2005 hingga tahun lalu. Daripada jumlah keseluruhan, 41 penerima mendapat bantuan berjumlah RM110,700 dan dimasukkan terus ke dalam bank mereka dengan sejumlah RM65,691 wang tersebut dikeluarkan oleh waris.
Bagi bantuan tunai, nama 52 penerima masih berada dalam senarai penerima baucer bayaran meskipun tidak dituntut sehingga 26 bulan.
Di Negeri Sembilan, 40 penerima yang meninggal dunia sejak 2008 dari Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson, masih diberikan bantuan di antara RM100 dan RM200 sebulan.
Daripada jumlah keseluruhan, RM45,350 dibayar kepada 15 penerima antara 2008 dan 2011.
Bayaran juga dibuat kepada 154 individu walaupun nama mereka tiada dalam pangkalan data JKM.
“Bayaran itu boleh dipersoalkan kerana penerimanya sangat dicurigai,” menurut laporan Ketua Audit Negara.
Di Melaka pula, 302 daripada 2,314 penerima berumur 20 tahun dan ke atas mendapat bantuan JKM meskipun peraturan JKM negeri menetapkan penerima yang layak mesti berusia 40 tahun ke atas.
“Ada permohonan yang diluluskan kepada penerima berusia 20 tahun,” dedah laporan itu yang mendapati kejadian berkenaan berlaku kerana mendapat sokongan daripada pemimpin tempatan atas dasar mendesak.
JKM Sabah memaklumkan wang bantuan masih diberikan kepada penerima meninggal dunia kerana kelewatan waris atau ketua kampung memaklumkan kematian penerima.
JKM Pasir Mas dan Kota Bharu pula memaklumkan telah mengambil tindakan segera sejak Disember 2012 selepas Jabatan Audit mengesahkan penerima meninggal dunia dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Jabatan berkenaan turut berikrar akan mengeluarkan senarai mereka yang meninggal dunia dan akan membuat pemeriksaan berkala dengan JPN.
JKM Negeri Sembilan pula memberitahu mereka menuntut kembali wang berkenaan daripada waris manakala empat lagi diminta membuat bayaran ansuran.
Bagaimanapun, RM5,680 masih tidak dapat dikesan. – 2 Oktober, 2013.

themalaysianinsider

No comments: