Loading...

Friday, October 4, 2013

PR Dengan Tegas Mencadangkan Satu Jawatankuasa Majlis Tindakan Bagi Menangani Masalah Ketirisan


KUALA LUMPUR 2 OKTOBER: Pakatan Rakyat mencadangkan satu Jawatankuasa Majlis Tindakan diwujudkan bagi memastikan segala ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara diambil tindakan tegas.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara.
Ini berikutan setiap kali laporan dibentangkan, masih terdapat ketirisan yang berlaku dan insiden ini tidak pernah diambil tindakan tegas.
“Ia bagi membincangkan bentuk tindakan yang perlu diambil bagi mereka yang didapati menyeleweng.
“Kita lihat laporan audit merekodkan terlalu banyak ketirisan berlaku terutamanya dalam isu-isu pembelian aset sepertimana tahun-tahun lepas. Tapi tidak ada satu pun tindakan tegas diambil walaupun perkara itu dilaporkan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali melihat isu ketirisan menjadi kelaziman di dalam agensi kerajaan yang dipandang remeh tanpa penguatkuasaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut kesal apabila laporan diserahkan pada saat akhir perbahasan agar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dapat membahasnya pada sidang kali ini.
“Kita akan perincikan perkara ini dan bahaskan pada sesi Parlimen yang akan datang,” katanya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut bersetuju dengan cadangan tersebut dan melihat ia langkah terbaik untuk menangani insiden yang selalu berulang.
“Laporan ini menunjukkan ketirisan akibat dari salah guna kuasa dalam urus tadbir kerajaan, sentiasa berulang setiap tahun.
“Ini mengesahkan kerajaan tidak pernah ambil iktibar daripada apa yang berlaku serta tidak memandang berat cadangan Ketua Audit,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Tegas beliau, sepatutnya kerajaan mengenalpasti apakah bentuk mekanisma untuk mengelak perkara yang sama tidak berulang.
“Kelemahan ketara kerajaan adalah langsung tidak mengambil perhatian terhadap laporan audit.
“Hanya sekadar memenuhi peraturan undang-undang yang setiap kementerian perlu diaudit, tindakan tiada dan tahun depan benda yang sama diulangi,” katanya, lapor Harakah Daily.

No comments: