Friday, October 4, 2013

Diskaun 25% Cukai Taksiran Kepada Penghuni Pansapuri Kos Rendah


SHAH ALAM, 4 OKT : Pemilik pangsapuri kos rendah di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) layak menerima diskaun cukai taksiran 25 peratus.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan, berkata pemberian diskaun itu tertakluk kepada pemilik bermastautin atau mendiami sendiri petak/unit di sesebuah pangsapuri kos rendah berharga bawah RM42,000.
“Pemilik juga perlu mengemukakan hakmilik strata sebagai bukti dokumen pemilikan rumah mereka.
“Bagi pemilik tiada atau masih belum membuat pindah milik hakmilik strata, mereka boleh mengemukakan surat perjanjian jual beli sebagai bukti dokumen pemilikan rumah,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat pembentangan Belanjawan MBSA 2014.
Beliau berkata, pemilik boleh mendapat perakuan sah pemastautin daripada mana-mana Badan Pengurusan Bersama (Pengerusi/Setiausaha sahaja) atau Ahli Majlis.
Mohd Jaafar, berkata pemilik perlu membuat permohonan diskaun cukai taksiran pada setiap penggal kerana pemberian diskaun cukai taksiran tidak diperoleh secara automatik.
“Waris pemilik juga layak dapat pengurangan diskaun ini, sama ada pemilik masih hidup atau meninggal dunia,” katanya.
Untuk menyemak senarai pangsapuri layak memohon, pemilik boleh merujuk kepada Bahagian Pesuruhjaya Bangunan atau menghubungi di talian 03-5510513 sambungan 380 / 397 / 532 / 525.

selangorku

No comments: