KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat tidak menolak kemungkinan akan meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila diberi mandat sebagai pemerintah Pusat kelak.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan, perkara itu akan dilaksanakan hanya jika dua perkara utama dicapai iaitu ketirisan perbelanjaan kerajaan ditangani dan tahap pendapatan perkapita rakyat meningkat.
Katanya, tempoh 17 bulan target kerajaan untuk melaksanakan GST April 2015 hendaklah ditangguhkan selagi masalah berkenaan gagal diatasi.
“Saya tak mengatakan saya bantah pada prinsip GST. Dalam ucapan belanjawan saya tegaskan dari sudut sistem pelaksanaannya itu lebih telus dan efisyen.
“Hentikan rasuah, kebocoran dan monopoli. Ini dulu perlu dihentikan. Kemudian usahakan taraf hidup rakyat. Lepas tu baru fikir pasal GST,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Anwar menegaskan, GST juga akan dilaksanakan Pakatan hanya jika masalah defisit negara dapat diatasi, namun beliau melihat penyelesaian masalah itu mengambil masa yang panjang antara lima hingga lapan tahun.
Katanya, isu GST pernah dibangkitkan kerajaan sejak Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan pada 1980-an sebelum portfolio itu diambil alihnya, tetapi ketika itu beliau dan Daim melihat GST masih belum sesuai dilaksanakan walaupun ketika itu negara mencatatkan belanjawan lebihan.
Sehubungan itu, beliau berkata Pakatan Rakyat akan menjalankan kempen penerangan di seluruh negara bagi memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap pendirian pembangkang berhubung perkara itu.
Ini bagi mengelakkan salah faham yang diputarbelitkan oleh media dan blogger Umno-Barisan Nasional (BN).
“Saya faham kita ada masalah pendekatan dengan media untuk rakyat faham. Tapi dengan kempen ia boleh dijelaskan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai subsidi gula, Anwar berkata pihaknya akan berusaha memujuk Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad menyokong usaha Pakatan memansuhkan anti-monopoli gula yang dikuasai taikun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari.
“Bukan saja gula tetapi monopoli dalam sektor lain yang dikuasai Tan Sri Ananda Krishnan dan Robert Kuok,” katanya.
Kelmarin, Shahrir yang juga Ahli Parlimen BN-Johor Bharu dalam Dewan Rakyat menggesa kartel dalam industri gula ditamatkan memandangkan subsidi dikurangkan dalam pembentangan Bajet 2014.
fmt
No comments:
Post a Comment