Monday, October 14, 2013

Mahkamah Rayuan Memutuskan Larangan Penggunaan Kalimah ALLAH Dalam Akhbar Mingguan Herald


Gereja Katolik dihalang Mahkamah Rayuan dari menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada tuhan bagi agama Kristian.
Keputusan diumumkan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali dalam keadaan mahkamah yang penuh padat.
Pihak gereja boleh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sekiranya keputusan itu bercanggah dengan kepentingan umum.
Pada 10 September, panel mendengar hujah peguam kerajaan, Suzana Atan yang menyatakan keadaan akan menjadi tegang sekiranya kalimah Arab Allah dibenar untuk penerbitan mingguan Katolik Herald dalam bahasa Melayu.
Suzana memberi contoh selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan, terdapat beberapa insiden serangan ke atas beberapa rumah ibadat.
Katanya, kalimah Allah mengundang pelbagai kekeliruan kepada penganut agama Islam dan Kristian kerana kedua-dua agama mempunyai tafsiran berbeza mengenai kalimah itu.
Menurutnya lagi, menteri mempunyai kuasa mutlak di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 bagi meletakkan syarat ke atas permit penerbitan tersebut.
Suzana berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana keputusannya mewujudkan persengketaan dan kekacauan dalam masyarakat.
Manakala, peguam Porres Royan yang mewakili gereja berkata hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan tidak salah dalam penghakimannya kerana larangan berkenaan adalah satu bentuk pencerobohan kepada kebebasan agama dan kebebasan bersuara. 
Katanya, keselamatan negara dan hujah Putrajaya adalah satu kenyataan lemah.
Royan menjelaskan pada 1982 terdapat arahan pengecualian di mana kalimah itu boleh digunakan oleh Al-Kitab yang diimport dari Indonesia dan menggunakan dialek Sabah dan Sarawak.
Herald telah menggunakan kalimah Allah semenjak 1994.
Royan berkata kerajaan telah membenarkan Al-Kitab dalam bahasa Indonesia dan bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah yang diimport dan dicetak dalam negara. 
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan. 
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan. 
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Katanya, meskipun Islam merupakan agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. - 14 Oktober, 2013.

TMI

No comments: