SHAH ALAM – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed meminta agar rakyat lebih memahami bidang kuasa SPRM.

Menurutnya, bukan semua kes boleh disiasat melainkan ia melibatkan tiga perkara utama.

“Kena faham, tiga sahaja kesalahan besar yang kita siasat. Beri rasuah dan terima rasuah kemudian membuat tuntutan palsu serta jika seseorang itu memberi projek kepada adik-beradik dia.

“Tetapi jika penyalahgunaan dana, tipu...itu terletak di bawah kanun keseksaan. Tertakluk di bawah kuasa polis. Janganlah lupa benda itu,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian siri ke-24 berjudul ‘Laporan Audit: Tiris atau Terlepas Pandang’, hari ini.

Pentas wacana turut menampilkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Tekannya, ia akan menjadi satu kesalahan jika SPRM turut masuk campur dengan perkara yang di luar bidang kuasanya.

“Kalau kita masuk juga, kita dah lakukan satu kesalahan. Kita ‘abuse’ kuasa mereka.  Tapi orang nak kami siasat juga. Itu yang saya minta orang awam faham.

“Saya yakin bahawa orang ramai beri pada kita kerana mereka percaya pada kita, tetapi kami juga minta supaya tak minta dan paksa kami buat sesuatu yang di luar bidang kuasa kami,” katanya.

sinarharian