Wednesday, October 23, 2013

PRK Sg Limau : Penamaan Calon , Sambutan Luar Biasa Untuk Mohd Azam Calon PR

Penamaan calon bagi pilihan raya N20 Sungai Limau akan berlangsung di Dewan Datuk Madi Yan, Kedah pagi ini.

Pencalonan akan bermula jam 9 pagi dan penyokong BN serta Pakatan Rakyat dijangka mula berkumpul di pusat penamaan calon seawal jam 8 pagi.

Personaliti-personaliti penting dari Pakatan Rakyat dan BN dijangka turun mengiringi calon masing-masing untuk menyerahkan borang.

Jika semuanya berjalan seperti dirancang, pekan Sungai Limau yang tenang ini akan menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52 tahun menentang calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun.

Di atas kertas, Sohaimi dilihat mempunyai profil yang lebih menonjol sebagai bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Azam pula seorang penolong kanan ko-kurikulum di sebuah sekolah agama di Kedah.

Kempen akan berlangsung selama 12 hari dan hari mengundi jatuh pada 4 November.

Kerusi Sungai Limau yang terletak dalam Parlimen Jerai kosong berikutan kematian anggota dewan undangan negeri merangkap bekas menteri besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Azizan menewaskan Fazillah Mohd Ali daripada BN dengan majoriti 2,774 undi.

Azizan menang dengan 13,294 undi berbanding 10,520 yang dimenangi BN - dan calon-calon bebas memperolehi 100 dan 84 undi.

Bagaimana pun, Kedah jatuh ke tangan BN selepas pilihan raya Mei lalu.

LAPORAN LANGSUNG

08:00 Trafik ke pusat penamaan calon di Dewan Datuk Madi, Yan bergerak lancar dengan kawalan polis.

Beberapa gerai jualan air dan makanan ringan didirikan di kiri dan kanan jalan beberapa puluh meter dari pusat penamaan menjadikan suasana seperti pasar pagi hujung minggu.

NONE08:30 Pemimpin tertinggi Pakatan, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN itu Datuk Mahfuz Omar, kelihatan bersama Azam.

Ratusan penyokong PAS yang menyertai calon mereka bersama pemimpin tertinggi Pakatan diminta bergerak ke Pantai Murni daripada pusat penamaan calon.

Mereka diminta berbuat demikian kerana berkumpul dalam jarak yang tidak dibenarkan. Rombongan BN dijangka tiba tidak lama lagi.

NONEPenyokong parti Islam itu kelihatan tidak gembira kerana sedang teruja mahu menyaksikan acara hari ini dari dekat.

08:36Penyokong PAS mula berarak melalui penamaan calon sambil bertakbir berulang kali.

08:45 Lautan penyokong PAS makin rancak berselawat dan melaungkan slogan anti-BN. Manakala penyokong BN pula, kira-kira 500 orang - yang lebih kecil daripada kumpulan PAS - menyanyikan lagu parti dan melaungkan slogan "Hidup BN".

Heavyweight Umno termasuk Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin kelihatan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai kumpulan itu.

NONE09:00 Tepat jam 9 calon BN masuk ke dewan menyerahkan borang pencalonan. Ketika calon menghantar borang penamaan, penyokong kedua-dua menunggu di luar dengan penuh semangat.

"Jantung kami berdebar, tak sabar hendak menang," kata Umi Haida Mahmood, 50-an, yang datang dari Pendang seawal jam 7 pagi.

Manakala seorang pemuda Fitri Badaruddin, 22, dari Bukit Chira pula kelihatan membawa poster berkaitan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20sen.

"Terima kasih kepada BN!" laungnya kepada orang ramai.

Polis selepas itu memasang kawat berduri di hadapan penyokong BN.

09:15 Di luar pusat penamaan calon, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir memberitahu pemberita, BN yakin merampas kerusi Sungai Limau.

Beliau berharap angin perubahan akan bertiup kencang di kalangan pengundi kawasan itu.

Unit Amal pakai topeng
Unit Amal PAS kali ini lebih bersedia apabila terdapat sebahagian mereka memakai topeng bagi bagi menghadapi gas pemedih mata.

Bagaimanapun, terdapat juga gelagat mencuit hati apabila terdapat tiga penyokong wanita Umno termasuk ke dalam kumpulan PAS.

"Kesian, depa sesat, ini kawasan bendera hijau," kata seseorang yang disambut gelak ketawa, sebelum trio itu bergerak ke kumpulan BN.

Anggota Parlimen Cheras daripada DAP Tan Kok Wai berkata, walaupun hilang negeri, rakyat DUN itu perlu menjadi agen semak dan imbang.

"Kita akan menang. Azizan sangat popular di sini," katanya.



malaysiakini


No comments: