Sunday, October 20, 2013

Belanjawan 2014 PR Bentang Di Parlimen


SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) akan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Dewan Rakyat esok.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah bersetuju untuk membentangkan belanjawan tersebut setelah diteliti sepenuhnya isi kandungannya, hari ini.

“Saya dan kepimpinan ketiga-tiga parti (PKR, Pas dan DAP) membuat keputusan untuk belanjawan secara khusus.

“Esok, Insya-ALLAH kami akan bentangkan di Dewan Rakyat jam 11.30 pagi seperti kerangka yang diputuskan,” katanya dalam sidang media selepas Bengkel Persediaan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, petang tadi.

Anwar berkata, tema belanjawan PR kali ini ialah mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

Beliau berkata, belanjawan tersebut mengambil kira jangkaan bahawa negara akan menghadapi krisis dengan hutang yang meningkat, pelaburan berkurangan, harga barang meningkat dan beban rakyat bertambah.

Katanya, PR turut membincangkan dan mengusulkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan Barisan Nasional (BN) menumpukan kepada pentadbiran negara, pengurusan ekonomi dan menangani isu besar untuk kepentingan rakyat yang terabai sejak PRU13 lalu.

“Kami mengulangi hasrat untuk mengadakan perbincangan dan dialog di antara pimpinan kerajaan BN bersama PR dalam isu-isu pertama ekonomi, perbalahan kaum, isu agama, isu jenayah, isu kerajaan termasuk rasuah dan laporan ketua audit negara,” katanya.

Abdul Hadi pula berkata, isu kelemahan dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat perlu diambil kira oleh kerajaan khususnya dalam memastikan ketirisan, penyelewengan dan hutang tidak berlaku.

Sementara itu, Kit Siang meminta agar kerajaan BN memberikan perhatian khusus kepada rakyat memandangkan Pemilihan Umno telah selesai semalam

“Tidak dinafikan bahawa enam bulan selepas PRU13, rakyat dan negara sedang menghadapi satu keadaan di mana nampaknya perdana menteri dan kerajaan BN hilang arah. Jadi kena ada permulaan baru untuk negara kita,” katanya.

sinarharian

No comments: