Thursday, October 31, 2013

Mohon Kerajaan Tegas Dalam Soal Hutang Negara Kerana Ia Bakal Mencapai Rekod Buruk Asia Tenggara


KUALA LUMPUR: Bajet 2014 dilihat masih kekal sebagai bajet defisit, 16 tahun berturut – turut semenjak krisis kewangan Asia berlaku ekoran amalan dan pelaksanaan dasar fikal ekonomi.
Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali berkata, disiplin fiskal yang lemah menyebabkan hutang negara terus meningkat daripada 36% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1998 kepada 54.7% (jangkaan) pada tahun 2014.
Ini berdasarkan laporan Maybank Berhad bahawa hutang negara bagi tahun 2013 dijangka meningkat kepada RM 541.3 bilion dan akan terus meningkat kepada RM 578.4 bilion iaitu 54.7% daripada jumlah KDNK.
” Ini adalah rekod yang tertinggi di Asia Tenggara,” katanya semasa ucapan perbahasan Bajet 2014 dalam Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, dalam tempoh 56 tahun negara mencapai kemerdekaan, Malaysia mengalami defisit fiskal selama 49 tahun dan hanya menikmati lebihan kewangan selama 5 tahun berturut-turut (tahun 1993-1998), iaitu ketika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menajdi Menteri Kewangan.
“Negara hari ini tidak mempunyai ‘fiscal space’ untuk berbelanja kerana hutang negara yang terlalu besar dan ianya juga tidak mempunyai ‘political will’ untuk memerangi rasuah dan menangani masalah ketirisan dan salahguna kuasa,” katanya.
Menyentuh mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Timbalan Presiden PKR itu berkata, pihaknya menyokong sistem percukaian yang dilihatnya telus sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan pendapatan daripada hasil sumber petroleum dan gas.
Malah GST juga dilihatnya boleh menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros dalam berbelanja.
Bagaimanapun, tegasnya rakyat Malaysia hari ini masih belum bersedia untuk perlaksanaan GSTkerana lebih 40% rakyat berpendapatan isi rumah kurang daripada RM 2,500 sebulan; 80% daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.
Hal ini menurut Azmin bertambah serius apabila Bajet 2014 memotong RM 7.29 bilion jumlah subsidi kepada rakyat yang akan menyebabkan kos produktiviti meningkat dan kuasa membeli atau ‘purchasing power’ rakyat semakin lemah (inflasi).
“Persoalannya adakah kerajaan telah meneliti impak sosio ekonomi rakyat dengan perlaksanaan GST dan pemotongan subsidi rakyat?
“Penganalisis ekonomi mengunjurkan tahap inflasi akan meningkat sebanyak 2% apabila GST dilaksanakan.
“Jika perlaksanaan GST ini konsisten dengan langkah pemotongan subsidi yang diumumkan, maka dijangkakan kadar inflasi akan terus meningkat sehingga kadar 5% pada tahun 2015,” katanya.
Sementara itu, katanya langkah kerajaan menarik balik RM 551.25 juta subsidi gula dan subsidi minyak masak bernilai RM 505.4 juta akan terus membebankan rakyat.
“Kerajaan wajar memberikan perhatian di atas tuntutan Pakatan Rakyat supaya memecahkan monopoli industri gula.
“Belanjawan negara bukan sekadar bertujuan untuk meningkatkan hasil negara tetapi menguruskan perbelanjaan secara berhemah dan mengambil langkah  proaktif untuk membanteras ketirisan dan amalan rasuah,” katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menegaskan pakatan pembangkang tidak pernah menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mahu dilaksanakan kerajaan.
Nada
Berbeza nada dengan rakan seperjuangannya yang lain termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin berkata pendirian pembangkang adalah GST merupakan satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang mampu memberi kebaikan kepada sistem ekonomi negara.
Bagaimanapun menurut anggota Parlimen Gombak itu, Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk melaksanakan cukai baharu itu kerana lebih 40 peratus rakyat mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan dengan 80 peratus daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.
“Sudah pasti, jika dilaksanakan GST akan menekan golongan dalam kelompok berpendapatan rendah dan rakyat miskin,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam pelaksanaan sistem percukaian itu, perhatian tidak sewajarnya diberi kepada golongan miskin tegar samata-mata, tetapi juga kepada golongan yang mempunyai bebanan hutang yang tinggi termasuk pekerja muda, pasangan yang baharu berkahwin dan juga mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.
Hutang
Malah, katanya, FOMCA melaporkan sejumlah 47 peratus pekerja muda di negara ini dibebani jumlah hutang yang begitu serius, manakala Kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna menyatakan lebih 30 peratus daripada gaji golongan muda digunakan untuk membayar hutang sekaligus mengesahkan beban dan kesempitan hidup generasi muda dan rakyat secara keseluruhannya.
Azmin turut menyarankan satu reformasi sistem percukaian yang bersifat meluas dan komprehensif digubal segera bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyumbang tujuh peratus kepada pendapatan negara.
Azmin dalam hujahnya berkata dalam pelaksanaan GST, kerajaan perlu memperbetul falsafah dan matlamatnya agar menjurus kepada menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros berbelanja.
“Pendek kata, GST bertujuan untuk mengagihkan semula atau mempelbagai, dan bukan meningkatkan bebanan cukai…bukannya berobjektifkan memperoleh pendapatan RM27 bilion,” katanya.
Katanya kerajaan perlu belajar daripada negara maju di mana negara terbabit hanya mula melaksanakan GST selepas infrastruktur cukai sudah kukuh di samping kadar cukai pendapatan juga turut dikurangkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

FMT

No comments: