Thursday, October 10, 2013

Kenyataan Media Ketua Umum




KENYATAAN MEDIA
9 OKTOBER 2013

Assalamualaikum, Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

KEADILAN merakamkan ucapan terima kasih di atas usaha Tan Sri Dato’ Setia Hj Ambrin Buang dan pasukan beliau di Jabatan Audit Negara menerbitkan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Namun ianya bagaikan deja vu, satu igauan tak henti-henti. Laporan ini terus membuktikan pentadbiran kewangan dan aset kerajaan pusat yang teruk, pengurusan dan penyeliaan projek-projek kerajaan yang lemah, penyelewengan kewangan yang berterusan, dan yang paling utama – ketiadaan kesungguhan politik untuk menghentikan ketirisan dan pembaziran dalam pentadbiran kewangan negara.

KEADILAN mengamati satu perkembangan yang cukup jelas dan membimbangkan, iaitu sikap tak kisah yang berterusan dalam membelanjakan dana kerajaan oleh kementerian-kementerian dengan sebegini rupa, dan tiada langsung kesungguhan politik untuk menghukum pesalah berulang.

KEADILAN berpandangan kerajaan pusat tidak patut membenarkan penyelewengan kewangan seperti ini berterusan, lebih-lebih lagi tatkala Malaysia telah diberi amaran oleh badan-badan antarabangsa bahawa ia telah berbelanja secara berlebihan dan tiada langkah kukuh untuk menangani ketirisan dan pembaziran. Pihak kerajaan pusat tetap berdegil dengan sikap berbelanja tanpa mahu berusaha mengurangkan kos perbelanjaan tahunan dan berjimat – walaupun rakyat seringkali disuruh berbuat sedemikian.

Di sini KEADILAN mengangkat beberapa penemuan Jabatan Audit Negara di mana terbukti kerajaan pusat terus mengamalkan pembaziran:

1. RM 2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM 3.689 bilion yang diperuntuk kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian. Walaupun ia berniat baik, namun ketiadaan sistem pemantauan telah mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang, dan juga CCTV yang tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan keselamatan anak-anak kita di sekolah.

2. Kementerian Pengangkutan telah membelanjakan hampir RM 1.42 bilion dari jumlah peruntukan RM 1.47 bilion untuk menambahbaik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Walaupun lebih 96% peruntukan telah digunapakai, namun projek yang dimulakan pada tahun 1996 ini masih belum siap: balai ketibaan dan bilik air-bilik air didapati tidak memuaskan, dan 599 lubang telah dijumpai di landasan kapal terbang yang belum dibaiki sejak 2010.

3. Dari 2006 hingga Disember 2012, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah membelanjakan RM 800.3 juta untuk mewujudkan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bersama Telekom Malaysia. Laporan ini menunjukkan hampir RM 41 juta pembayaran yang tidak patut atau berlebihan, termasuk sesi latihan di Geneva untuk seorang pegawai kanan kementerian, berjumlah RM 303,813 untuk 4 hari.

4. Projek-projek infrastruktur lain seperti Projek Pembetungan Negara (RM 744 juta dibelanjakan), Kolej ATM di Port Dickson (RM 190 juta dibelanjakan), Pusat Pemprosesan, Pengeluaran dan Gudang di Bangi (RM 94 juta diperuntukkan) di mana kesemuanya mencatatkan kehilangan antara 16% dan 20% jumlah peruntukan akibat kelewatan projek disebabkan kekurangan perancangan awal dan pemantauan projek.

5. Kelewatan Lembaga Hasil Dalam Negeri memungut cukai dari syarikat-syarikat perniagaan mengakibatkan kehilangan yang dianggarkan bernilai RM 62 juta.

6. Pembelian 5 Beechcraft King Air 350 berjumlah RM 175.24 juta, yang tidak dapat dimanfaatkan kerana juruterbang dan juruteknik telah dilatih menggunakan modul latihan yang tidak diiktiraf Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

Antara contoh pembaziran dan budaya ‘tak kisah’ yang disebut tadi adalah seperti berikut:

1. Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM 67.6 juta untuk Hari Belia 2012, peningkatan yang cukup tinggi dari peruntukan asal RM15 juta; di mana RM1.6 juta telah dibelanjakan untuk membawa masuk kumpulan K-pop.

2. Polis DiRaja Malaysia kehilangan aset berjumlah RM 1.33 juta, termasuk 156 pasang gari, 44 pucuk senjata api, 29 buah kenderaan, 26 set walkie-talkie, dan 22 buat radio.

3. Kasut buatan khas untuk pegawai Jabatan Kastam, yang lambat diagih mengakibatkan 7,659 pasang kasut dimusnahkan kerana tidak mengikut spesifikasi. Jumlah kehilangan dianggarkan bernilai RM 602,089.

KEADILAN menggesa SPRM menjalankan siasatan yang menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan dan pembaziran ini, dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan. Pada masa yang sama, KEADILAN mengharapkan kerajaan pusat akan satu hari nanti mengubah budaya agar mereka yang didapati merancang pembaziran dan penyelewengan wang rakyat akan dihukum, dan bukan sahaja ‘kambing-kambing hitam’ yang dijadikan teladan.

KEADILAN mengulangi pendirian bahawa penyelewengan wang rakyat dan budaya pembaziran yang kita saksikan sekarang di dalam pentadbiran negara wajib dihentikan, lebih-lebih lagi apabila rakyat diminta berjimat dengan harga petrol yang meningkat dan GST yang mungkin akan diperkenal tidak lama lagi.

DATO SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG MALAYSIA

No comments: