Thursday, October 3, 2013

Sewaktu Pemerintahan Lampau , EXCO BN Terlibat Dalam Soal Kadar Sewa PPRT


SHAH ALAM 2 OKT : Keputusan untuk menaikkan kadar sewa di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang merupakan keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Exco pada Ogos 2007, iaitu sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Kenaikan itu menjadikan kadar sewa daripada RM124 kepada RM250 dengan alasan kos penyelenggaraan yang meningkat.
Bagaimanapun, pada Disember 2008, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menurunkan kadar sewa yang dinaikkan kepada kadar asal kerana tidak mahu rakyat terbeban dengan kadar sewa yang tinggi.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata Kerajaan Negeri membuat keputusan terbabit berdasarkan had kelayakan pendapatan penghuni di PPRT itu.
“Kita bagi kelonggaran kepada penghuni yang berpendapatan RM1,500 ke bawah yang mempunyai banyak tanggungan, warga emas atau Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mengekalkan kepada RM124 sebulan.
“Manakala, kadar sewa lebih dari RM1,500 dan berkemampuan kita kekalkan kepada RM250. Penurunan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang rata-ratanya berpendapatan rendah.” katanya ketika dihubungi.
Iskandar berkata demikian bagi menafikan dakwaan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berhubung kenaikan kadar sewa terbabit.
Iskandar menjelaskan selain bertindak mengurangkan kadar sewa itu, pada tahun lalu, Kerajaan Negeri turut prihatin dengan membelanjakan sebanyak RM3.2 juta untuk penyelenggaraan PPRT di Lembah Subang dan Kota Damansara bagi kerja-kerja pembaikian lif dan pam air.
Noh sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri menindas penghuni PPRT terutamanya di Lembah Subang apabila gagal melaksanakan kerja pembaikan kemudahan tetapi menaikkan kadar sewa.
Beliau mendakwa kadar sewa dinaikkan daripada RM124 (zaman Umno-BN) kepada RM250 ketika ini.

selangorku

No comments: