Tuesday, October 8, 2013

Ketua Audit Negara Menafikan Dakwaan Menteri KDN


Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (gambar) menafikan dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa polis sudah memberi penjelasan kepada pihaknya sebab 44 pistol dan peralatan lain milik polis hilang.
Ambrin turut tidak bersetuju  dengan kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk, Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa tiga kumpulan K-pop yang membuat persembahan semasa Hari Belia Sedunia dibayar oleh penaja.
Ambrin berkata, polis tidak memberi jawapan berhubung kehilangan aset bernilai RM1.3 juta membabitkan 44 senjata api, 29 kenderaan, 26 walkie talkie, 22 radio dan peralatan lain.
Menteri Dalam Negeri sebelum ini berkata, kementeriannya sudah menghantar laporan kepada Ketua Audit Negara menjelaskan kehilangan tersebut tetapi ia tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
“Penjelasan sudah diberikan tetapi ia tidak dilakukan pada masa ia direkodkan dalam laporan. Saya mahu pastikan tiada penyelewengan. Itu yang penting,” kata Ahmad Zahid.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kehilangan pistol berkemungkinan disebabkan terjatuh ke dalam laut dari bot dan bukan terlepas kepada penjenayah.
Khalid berkata, setiap pistol mempunyai kod identiti dan setakat ini, polis tidak pernah mendapat laporan senjata yang hilang digunakan dalam jenayah.
Ambrin ketika mengulas mengenai kenyataan itu berkata, jawapan Khalid itu adalah pandangan peribadinya.
“Tiada tentang pistol hilang di dalam laut dalam laporan kami dan tiada jawapan daripada polis berhubung isu ini,” kata Ambrin kepada The Malaysian Insider semalam.
“Kita tidak boleh menolak kemungkinan apabila polis melakukan operasi atau latihan di laut, pistol mungkin jatuh ke dalam laut.
“Kes kehilangan aset polis adalah disebabkan oleh kecuaian anggota polis seperti tersilap letak atau menyebabkan ianya dicuri selain kelemahan menguruskan aset,” katanya.
Ahli Parlimen pembangkang menyelar polis selepas Laporan Ketua Audit Negara 2012 dibentangkan dengan mendakwa kehilangan pistol mempunyai kaitan dengan peningkatan kadar jenayah melibatkan senjata api.
Teresa Kok dari DAP mengkritik polis kerana sekadar memberikan alasan tanpa mahu mengakui kecuaian mereka.
“Macam mana Khalid tahu pistol itu jatuh ke dalam laut? Adakah rakyat Malaysia yang waras boleh terima alasan sebegitu,” katanya.
Berhubung bagaimana Jabatan Audit Negara tahu mengenai kehilangan itu, Ambrin berkata, mengikut peraturan, kementerian, jabatan atau agensi yang kehilangan aset kerajaan harus melaporkan kehilangan itu kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Audit Negara.
Pendedahan lain dalam Laporan Ketua Audit Negara yang menjadi kontroversi adalah penggunaan dana RM1.6 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk membawa kumpulan K-pop ke Malaysia sempena sambutan Hari Belia Sedunia.
Bekas menterinya, Ahmad Shabery berkata, ia datang daripada penaja sementara penggantinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengambil alih jawatan itu pada Mei mengakui kementerian mengeluarkan belanja untuk konsert itu.
Shabery mendakwa, kementerian menerima RM20 juta daripada sektor korporat dalam dan luar negara untuk acara itu.
Shabery turut menggelar Jabatan Audit Negara “culas” (malas) kerana gagal menyemak wang yang dimasukkan oleh penaja ke akaun bank Majlis Belia Kebangsaan.
Bagaimanapun, Ambrin menafikan dakwaan Shabery dan berkata, tiada sesiapa daripada kementerian atau majlis yang mencabar fakta wang konsert K-pop itu datang menerusi peruntukan kerajaan semasa perbincangan kedua-dua pihak berhubung audit itu.
“Dalam audit tentang pembayaran geran oleh kementerian kepada badan bukan kerajaan kami mendapati sejumlah besar wang dibayar untuk beberapa aktiviti bagi sambutan yang dirasakan tidak wajar termasuk konsert K-pop.
“Ini sebabnya mengapa ia dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya. – 8 Oktober, 2013.

TMI

No comments: