Tuesday, October 22, 2013

Defisit Negara Akan Terus Meningkat Jika Sikap Masih Lewa



KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun depan akan mencecah kadar 5.2 peratus berdasarkan ramalan peningkatan ekonomi global.

Pertumbuhan itu sekali gus akan menyebabkan defisit fiskal negara turut meningkat pada kadar 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Anggaran itu dibuat berdasarkan anggaran pendapatan negara sebanyak RM228 bilion dan anggaran perbelanjaan negara sebanyak RM262 bilion di mana pengurangan sebanyak 10 peratus pada perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen.

"...anggaran KDNK sebanyak RM1,055 bilion berdasarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun sama," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen, semalam.

Katanya lagi, sejak PR menyediakan Belanjawan Alternatif, anggaran defisit pembangkang jauh lebih rendah berbanding kerajaan Barisan Nasional.

"Sejak tahun lalu, defisit kerajaan semakin meningkat dan ini disebabkan kegagalan kerajaan menangani gejala rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran serta pengurusan kewangan negara," bidas beliau.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membentangkan Belanjawan 2014 Jumaat ini menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal negara kepada tiga peratus daripada KDNK.

sinarharian

No comments: