Thursday, October 10, 2013

Kenyataan Akhbar Menteri Besar Selangor


KENYATAAN AKHBAR
10 OKTOBER 2013

KETUA PEMBANGKANG SELANGOR BAKAL TERIMA KEISTIMEWAAN TAMBAHAN

Kerajaan Selangor buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini akan memberi elaun dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam meluluskan keistimewaan tambahan kepada Katua Pembangkang Dewan Negeri Selangor yang akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan  peranan semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

Kepentingan Ketua Pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor selepas Dato’ Menteri Besar pada persidangan Dewan Negeri Selangor.

Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas usul ini dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke -13 yang dijangka  mula bersidang pada 19 November depan.

Ketua Pembangkang bakal menerima elaun  tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.

Pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parliem (Saraan) 1980.

Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: