Friday, October 11, 2013

Laporan Audit Sudah Dibentang Namun Sikap Masih Statik

Wacana siri 24

SHAH ALAM – Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menyifatkan laporan yang dibentangkan saban tahun sebagai 'kisah dan tauladan' yang perlu diberi perhatian semua pihak.

Beliau berkata, ketua jabatan orang yang paling berperanan dalam membawa perubahan.

''Kami di audit buat laporan macam lagu 60-an ‘Kisah dan Tauladan’.

“Audit (ambil) kesah supaya perkara itu dijadikan tauladan. Bayangkan kalau audit tidak masuk, benda bermasalah dibiarkan, ketirisan akan berlaku,” katanya.

Ketirisan, katanya, bukan hanya melibatkan perbelanjaan tetapi juga aspek lain termasuk pungutan hasil.

Menurut beliau, Jabatan Audit Negara menggariskan tiga perkara utama yang boleh menentukan perbelanjaan yang dikeluarkan itu bernilai.

“Kami gambarkan tiga perkara yang disebut sebagai 3E, ekonomi-efisien-efektif. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu reflect 3E itu tidak ada, sebaliknya timbul pula 3P,  iaitu pemborosan-pembaziran-penyelewengan.

“Tanggungjawab kita menyedarkan ketua jabatan agar penambahbaikan dapat dibuat. Tetapi kadang-kadang ketua jabatan tidak sedar. Bila audit sedarkan, mereka perlu ambil tindakan. Kalau tindakan sudah diambil, kami akan maklumkan dalam laporan,” katanya.

Ambrin turut mengingatkan masyarakat tidak mudah menuding jari daripada hasil laporan audit.

Katanya, sejak tahun 80-an pihaknya menggunakan konsep Audit Prestasi bagi memperlihatkan sejauh mana perbelanjaan wang awam itu memberi hasil dan impak yang berkesan.

“Kerja ini bukan baru kami lakukan, kami lakukan audit kepada pihak yang menjalankan aktiviti kerajaan yang mana melibatkan wang awam.

“Kerja ini juga bukan mudah kerana ia ambil masa panjang bagi menzahirkan laporan yang seimbang,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga mempunyai Standard of Procedure (SOP) dan etika yang perlu dipatuhi kerana laporan itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kabinet, Parlimen dan kerajaan negeri.

Beliau turut memberitahu sebanyak 160 jabatan termasuk di peringkat persekutuan, negeri dan badan berkanun telah diaudit.

Katanya lagi, setiap audit yang dilakukan oleh jabatannya amat teliti kerana mereka mengambil kira semua aspek.

“Kami bukan buat audit atau pemeriksaan di dalam bilik, kami turun padang berjumpa dengan konsultan dan kontraktor, kemudian bercakap pula dengan penjawat awam yang terlibat.

“Selepas mendapat penjelasan, draf laporan dibuat, fakta-fakta yang dikumpul disahkan, kemudian kita beri mereka peluang untuk membuat penjelasan.

“Proses ini macam majlis syura, mahu semua pihak puas hati. Bila ada penjelasan kurang munasabah, jadi isu itu wajar diperbetulkan,” katanya.

Mulai tahun ini, Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti kerajaan persekutuan, badan berkanun persekutuan dan kerajaan-kerajaan Negeri, dibentangkan dalam tiga siri.

SH

No comments: