KUALA LUMPUR 2 OKT : Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bercanggah dengan ketetapan tidak mengembalikan kuasa tahanan tanpa bicara.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, berkata Peguam Negara sebelum ini pernah menegaskan usaha mengembalikan Rang Undang-undang (RUU) itu perlu dibincang terlebih dahulu.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal berbuat demikian sebaliknya meneruskan bacaan kali kedua pindaan RUU itu pada sidang Dewan Rakyat semalam.
“Saya bangkitkan perkara ini kerana ada percanggahan dengan ketetapan yang dibuat Peguam Negara pada Ogos tahun ini dalam bengkel bersama KDN di Hotel Sunway.
“Peguam Negara dengan jelas menolak sebarang usaha untuk mengembalikan semula tahanan tanpa bicara dan menegaskan supaya ia dibincang terlebih dahulu.
“Ini tidak berlaku. Apakah KDN ada masalah dgn Majlis Peguam? Adakah RUU ini diteliti oleh Peguam Negara?” katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang semalam.
Beliau berkata, Artikel 4A akta menyebut ia berkuasa mengembalikan semula tahanan tanpa bicara selama dua tahun tetapi ia bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Pusat sebelum ini.
Katanya, ia juga bercanggah dengan janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 yang bercadang untuk menghapuskan ISA dan Ordinan Darurat (EO).
“Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk tidak lagi benarkan tahanan tanpa bicara tetapi RUU itu dengan bercanggah dengan janji beliau,” katanya.
Beliau turut kesal dengan tindakan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan ruang dalam perbahasan RUU itu dan akan mendesak supaya ia dirujuk kepada jawatankuasa pilihan terlebih dahulu.
Katanya, tindakan itu boleh dilakukan mengikut peraturan 54 di mana sesuatu RUU itu boleh diserahkan kepada jawatankuasa pilihan sebelum pembacaan kali kedua.
“Saya akan terus mendesak supaya perkara ini dilakukan untuk memberi ruang perbahasan yang menyeluruh bagi mendapatkan maklumat dalam menggubal RUU yang penting ini.
“PKR komited untuk bersama PDRM menangani jenayah tetapi kita mahu perbahasan ini dibuat secara menyeluruh dan dapat dibuat dgn baik,” katanya.
selangorku
selangorku
No comments:
Post a Comment