Thursday, October 3, 2013

PRK Sg Limau: Penamaan 23 Okt , Pengundian 4 November


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November dan hari penamaan calonnya pula pada 23 Oktober ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiada hari pengundian awal dan terdapat 27, 222 orang pengundi yang akan mengundi di kawasan itu.
PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Razak pada Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan serius.
Azizan menyandang kerusi DUN itu selama lima penggal dan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, beliau mengalahkan sepupunya, Fazillah Mohd Ali daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 2,774 undi.
Speaker DUN Kedah, Datuk Md Rozai Shafian telah menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Limau kepada Pengarah SPR Kedah, Juhari Abdul Rahman di pejabat Speaker DUN di Wisma Darul Aman pada Ahad lalu bersama sijil kematian Azizan.
"Dakwat kekal akan digunakan dalam pilihan raya kali ini sebagai mana PRK Kuala Besut. Pengundi akan mencelup jari telunjuk mereka sebelum dibenarkan mengundi.
"Pilihan raya kali ini menyaksikan tiada hari pengundian awal disebabkan tiada anggota tentera atau polis yang berdaftar di kawasan itu.
"Petugas SPR dan kakitangan media yang ingin memohon untuk mengundi pos boleh mengemukakan permohonan mereka mulai hari ini dan tarikh tutupnya dua hari selepas hari penamaan calon," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya hari ini.
Abdul Aziz memaklumkan sebanyak 17 pusat mengundi akan dibuka yang menempatkan 58 saluran dan Dewan Dato' Madi, Yan akan digunakan sebagai pusat penamaan calon.
Katanya, Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan akan digunakan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi dan kos pilihan raya kali ini dianggarkan sebanyaj RM1.3 juta.
"Sebanyak 492 petugas SPR akan mengelolakan pilihan raya kecil ini dan daftar pemilih yang akan digunakan adalah dari tahun 2012 sehingga sebelum 26 September lepas.
"Pegawai Pengurus PRK ini adalah Pegawai Daerah Yan Abdul Rashid Othman dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus dan tiga ketua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya.
"Seramai 25,356 pengundi Melayu, Cina 1,842 orang, India dengan 15 orang dan pengundi daripada etnik Sabah dan Sarawak seramai 9 orang," katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan pertimbangan untuk mengadakan pilihan raya kali ini tidak mengambil kira faktor tarikh Bajet 2014 tetapi merujuk kepada tarikh lain seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perayaan Deepavali dan sambutan Awal Muharam.
Menurutnya, tarikh tersebut juga dipilih bagi memberi keselesaan kepada pemilihan Umno pada 19 Oktober dan pemilihan PAS pada 21 November. - 3 Oktober, 2013.

malaysianinsider

No comments: