Pakatan Rakyat (PR) melalui Belanjawan Alternatif mereka akan membolehkan Malaysia menikmati kadar lebihan belanjawan selewat-lewatnya pada 2018 melalui reformasi fiskal yang dicadangkan pembangkang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).
Ketua Pembangkang itu berkata, antara teras utama Belanjawan Alternatif pembangkang adalah pengukuhan kedudukan fiskal negara dan pemerkasaan kewangan awam, pembangunan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan, serta peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
"Bajet alternatif 2014 PR adalah usaha untuk memperkenalkan reformasi fiskal yang akan memastikan pencapaian defisit bajet pada kadar tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan seterusnya mencapai lebihan bajet selewat-lewatnya pada 2018," katanya pada sidang media intipati belanjawan pembangkang di Parlimen, hari ini.
Anwar berkata, reformasi itu bakal membolehkan Malaysia keluar daripada kemelut hutang yang kini melebihi RM500 bilion melalui kos bayaran pembayaran hutang melebihi RM20 bilion setahun.
"Bagi menjamin perbelanjaan kerajaan lebih efisyen dan teratur, PR akan melancarkan program rasionalisasi kos melalui pengurangan 10% perbelanjaan operasi.
"Ini akan dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun menteri Kabinet dan ketua jabatan kerajaan, pengajian polisi perbelanjaan kerajaan terutama dalam kontrak dan perolehan peralatan dan juga memperkemas mekanisme subsidi sasaran," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berkata tindakan keras akan diambil terhadap kementerian yang didapati terlibat dengan salah laku dan pembaziran seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara.
"PR menganggarkan sekurang-kurangnya RM20 hingga RM30 bilion dapat dijimatkan sekiranya pembaziran dan penyelewengan seperti yang dilaporkan dapat dihentikan," katanya.
Belanjawan alternatif pembangkang juga, katanya, akan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana dilihat lebih membebankan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
"Cukai itu akan ditangguhkan sehingga pendapatan isi rumah mencapai tahap yang sesuai, pelebaran 'band' cukai pendapatan terutama golongan menengah untuk mengelakkan mereka memasuki band lebih tinggi, dan kajian menyeluruh mengenai 'trade-off' cukai korporat dan peribadi dengan GST," katanya.
Katanya, PR juga akan memperkenalkan sistem cukai 'real property gains tax' (RPGT) pada tahap sebelum 2007 iaitu cukai berperingkat pada kadar 30% bagi tahun pertama sehingga cukai terendah lima% bagi penjualan pada tahun kelima.
"Ini bertujuan mengekang kegiatan spekulasi hartanah yang berlebihan," katanya.
Anwar berkata, belanjawan alternatif turut memberikan penekanan kepada pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo, pengkajian semula polisi Kabotaj untuk Sabah dan Sarawak serta perbekalan 100% bekalan air untuk kawasan luar bandar.
Anwar turut mengulangi pendirian untuk menghentikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sementara waktu sehingga satu kajian menyeluruh dibuat oleh Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC). - 21 Oktober, 2013.
TMI
No comments:
Post a Comment