KUALA LUMPUR - PR menawarkan satu kerjasama dengan kerajaan bagi membentuk sebuah majlis yang dianggotai tiga individu untuk membantu menyelesaikan masalah ketirisan dalam jabatan kerajaan yang berlaku sejak sekian lama.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, majlis tersebut akan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disertai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Menurutnya, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) tidak lagi efektif dalam menyelesaikan masalah itu.
"Kita cadangkan tubuh majlis tiga orang ini supaya, tindakan dapat diambil terhadap pegawai yang menyeleweng. Selain itu kita juga dapat pastikan reformasi yang lebih sistematik dapat diadakan dalam jabatan kerajaan.
"Kalau tiada tindakan tegas diadakan, maka kita akan lihat lagi laporan seperti ini pada tahun hadapan, jam dinding dari harga RM100 jadi RM3800, pengimbas (scanner) yang murah mencecah RM14,000," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Guan Eng berkata, tawaran kerjasama dalam pembentukan majlis itu dibuat apabila melihat Laporan Audit Negara yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara semalam menunjukkan tiada perubahan dilakukan dalam pentadbiran kerajaan hari ini.
Ketika ditanya adakah usaha PAC selama ini tidak memberikan sebarang hasil, beliau berkata, PAC hanya mampu mengeluarkan laporan tanpa boleh mengambil apa-apa tindakan tegas.
"PAC dikawal oleh kerajaan, lihat nisbah 9-5 juga kita tahu memang tidak berkesan langsung. Terus terang saya kata dengan struktur sekarang tiada kuasa menghukum orang tidak takut.
"Mereka (PAC) hanya sediakan laporan, hanya lepaskan batuk ditangga, tetapi selepas seminggu orang akan lupa," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, kerajaan tidak mengambil iktibar di atas cadangan yang telah dibuat oleh Jabatan Audit Negara.
"Kita lihat saban tahun ada ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dalam urus takbir kerajaan," katanya.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, tawaran yang dibuat PR untuk bekerjasama dengan kerajaan adalah bagi mengatasi masalah yang berlaku.
"Saya lihat trend sekarang, laporan audit ini sering kalio diberikan pada saat-saat akhir parlimen, untuk elak ahli parlimen kritik atau tegur salah guna kuasa yang berlaku.
"Seperti sedia maklum, ahli parlimen PR akan teliti setiap laporan itu dan kami akan bahas dalam perbahasan akan datang," katanya.
Selain daripada pembentukan majlis tiga orang itu, PR juga mencadangkan pemberian tender terbuka secara kompetatif dilakukan bagi mengurangkan penyalah gunaan kuasa.
PR akan menyerahkan surat rasmi berhubung cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam masa terdekat.
MC
No comments:
Post a Comment