Tuesday, April 22, 2014

Adun Sri Muda Bidas Menteri Belia & Sukan

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie menasihati Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar fokus kepada menangani masalah bola sepak yang dakwanya tercorot di dunia bukannya menyibuk dalam isu catuan air Selangor.
Semua pihak termasuk Khairy perlu akur bahawa masalah bekalan air di Selangor berlaku akibat musim kemarau dan ia di luar kawalan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor, tegas Shuhaimi.
"Atasi masalah bola sepak negara yang merudum, yang turun ke peringkat paling corot dalam dunia pada ketika ini.
"Isu air ini biarlah menteri-menteri lain urus dan kalau menteri Tenaga yang cakap saya boleh terima tetapi menteri belia yang cakap tak usahlah memancing kepentingan politik dalam keadaan semasa ini kerana ia tidak membantu," katanya kepada Antarapos baru-baru ini.
Khairy baru-baru ini mendesak agar kerajaan negeri menghantikan pemberian air secara percuma kepada rakyat sebaliknya fokus kepada bagaimana mahu memastikan bekalan air di Selangor kembali pulih.
Shuhaimi meminta agar semua pihak tidak terus menuding jari kepada kerajaan negeri sebaliknya melihat punca yang membawa kepada keputusan melaksanakan program catuan air yang kini memasuki fasa keempat.
"Jadi isunya, kalaupun kita boleh bersetuju untuk ditamatkan program 20 meterpadu air percuma ini ia tidak membantu untuk menamatkan musim kering.
"Jadi, tak usahlah manipulasikan dan saya mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin fokuslah kepada bidang sukan dan tak perlu campur sangat urusan-urusan soal air dan urusan selain dibawah bidang kuasa dia," katanya.
Beberapa pemimpin termasuk Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dilaporkan mengkritik kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana gagal mengatasi masalah itu walau diberi amaran oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebelum ini.
SYABAS sebelum ini memaklumkan unjurannya mendapati bekalan air Selangor hanya mampu bertahan sehingga 2014 namun ditepis Khalid apabila berkata negeri itu mempunyai bekalan air yang mencukupi sehingga 2019.
Shuhaimi tidak pula mengulas perkara tersebut sebaliknya mengajak pelbagai pihak mengkaji alternatif yang ada untuk memastikan permasalah itu dapat di atasi.
"Yang paling berkesan ialah semua kerajaan negeri yang ada di negara kita ini dan juga kerajaan persekutuan harus mengkaji bagaimana cara untuk menyimpan air dalam kadar yang lebih besar mungkin melalui empangan-empangan, kolam-kolam yang boleh diwujudkan sesama negeri-negeri berjiran supaya masalah air ini pada masa akan datang boleh kita tangani dengan baik dan kalau timbul keadaan seperti perubahan cuaca seperti yang kita alami sekarang," katanya.
Semalam SYABAS memaklumkan program catuan air fasa keempat dijadualkan berakhir pada 30 April ini. Bagaimanapun segala keputusan bersabit isu itu akan diputuskan kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN).
antarapos

No comments: