Thursday, April 17, 2014

Keadilan Raya: "What We Need Is Just One Force" - Timbalan Presiden


 

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali merasmikan kempen mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi, malam tadi dengan tema Keadilan Raya yang membawa mesej ideologi politik berbilang kaum.

Azmin mengulangi pendirian sama dengan berkata, parti tersebut bukan eksklusif untuk kaum Melayu dan dilihat mengkritik seorang lagi calon, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang sebelum ini mengatakan PKR merupakan parti berteraskan Melayu, baru-baru ini.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi Keadilan bukan parti Melayu.

"Keadilan adalah parti seluruh anak Malaysia," kata Azmin di hadapan penyokong dan anggota parti yang memenuhi Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Azmin sebaik sahaja melangkah masuk ke dewan disambut dengan laungan "reformasi" dan menerima tepukan gemuruh daripada penyokongnya.

"Kita tidak melihat warna kulit atau keturunan, tetapi melihat hati nurani dan moral manusia," katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu menggariskan tiga aspek dalam tema kempen dibawanya iaitu membela hak rakyat Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan, menjamin kesaksamaan dan mengagihkan ekonomi serta kekayaan secara adil kepada dua negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.



"Seluruh rakyat Malaysia dilindungi hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan setiap warganegara adalah sama rata dan tiada sesiapa pun adalah warga kelas kedua," katanya.

Azmin berkata, konsep idea yang dibawanya itu mampu memacu pembangunan dan memperbaiki ekonomi.
"Konsep pembangunan yang dibawa oleh Keadilan Raya adalah memacu pertumbuhan ekonomi dengan menjamin prinsip pengagihan yang adil atau distributive justice," katanya.

Katanya, beliau minta budaya politik berpuak-puak dielakkan dalam PKR.

"Justeru itu, kita perlu mengelakkan factionalism, alliance atau gabungan yang akan menyebabkan parti yang kita sayangi hancur berantakan," katanya.

Ketika melancarkan kempen tersebut, Azmin turut menyatakan komitmen setia dan bekerja bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjamin masa depan parti tersebut.

"Bagi saya, seluruh anggota parti adalah pasukan saya di bawah naungan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kenapa kita perlu mencipta third force? What we need is just one force. Only one! That is the force of PKR," katanya.

Azmin sekali lagi menekankan corak politik baru yang dibawa PKR berbeza dengan parti lawan daripada Barisan Nasional (BN).

"PKR dibentuk untuk menolak politik lama yang jelek. Kita membawa politik baru yang berteras nilai-nilai murni sejagat. Justeru, perlu ada kesetiaan kepada parti sebagai wadah perjuangan.

"Maka, saudara saudari sebagai pejuang PKR yang tegar perlu bertekad untuk menjayakan demokrasi. Pilihlah kepimpinan yang tegas, teruji, wibawa dan setia," katanya.

Azmin berdepan dengan persaingan sengit untuk mengekalkan jawatan timbalan presiden yang dimenanginya pada 2010, apabila bakal dicabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Saifuddin yang juga naib presiden PKR, serta pesaing ketiga, ahli PKR cawangan Hulu Selangor, Datuk K Ramachandran.

Pada majlis pelancaran kempen semalam, beberapa pemimpin utama dan berpengaruh dalam PKR turut hadir memberikan sokongan kepada Azmin antaranya penyandang Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar; Khalid Jaafar; dan calon ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Amiruddin Shaari. – 17 April, 2014.

TMI

No comments: