Monday, April 28, 2014

TPPA :Amerika Jangan Desak,Malaysia Jangan Setuju




Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendesak Amerika Syarikat (AS) menunjukkan ketelusan dalam perundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) selepas pertemuan di ibu kota semalam.

Ketua Pengarah Eksekutif MTEM, Nizam Mahshar yang bertemu dengan wakil perdagangan AS, Michael Froman pagi semalam berkata beberapa isu dibangkitkan melibatkan perjanjian kontroversi tersebut.

"Bagi kita, isu-isu ini direncatkan kerana proses kerahsiaan yang sulit menjejaskan kemampuan kita untuk terlibat dalam isu ini secara langsung.

"Kita memberitahu mereka, kerahsiaan ini tidak baik untuk kedua-dua pihak," kata Nizam yang ditemui The Malaysian Insider selepas selesai perbincangan selama satu jam setengah di Kuala Lumpur dengan wakil AS semalam.

Sepanjang pertemuan itu juga, Nizam menjelaskan antara isu berbangkit yang dibincangkan adalah mengenai 75 Ketetapan (Redlines), seperti bab perdagangan barang, perkhidmatan, pelaburan, perolehan kerajaan, harta intelek, penyelesaian pertikaian antara pelabur-negeri (ISDS) dan banyak lagi.

"Kita mendapat banyak maklumat dalam isu-isu ini, secara jelas terdapat jurang maklumat antara kedua-dua pihak.

"Juga terdapat jurang dalam perundingan, hingga gagal berbincang secara baik kerana kerahsiaan ini, jadi kami minta mereka agar lebih telus," katanya.

Dalam perbincangan itu juga, Nizam berkata perbincangan mengenai TPPA masuk dalam dinamik baru, menyifatkan TPPA tidak menekankan tentang isu ketaksamaan.

"Walaupun mungkin negara kita capai status negara maju, tetapi masalahnya majoriti rakyat masih lagi belum berpendapatan tinggi.

"Di situ wujud jurang yang tinggi, kita nampak TPPA tidak menekankan mengenai isu tersebut, perbezaan fasa pembangunan sesebuah negara," kata Nizam.

TPPA merupakan inisiatif membentuk kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei pada Oktober 2010 lalu.

Rundingan terakhir diadakan di Singapura pada Februari lalu, tetapi keputusan muktamad masih buntu setakat ini.

Kontroversi TPPA mendapat perhatian ramai pihak, antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga pembangkang.

Nizam juga mempersoalkan wakil AS itu mengenai faedah TPPA, adakah ia hanya akan memanfaatkan setengah pihak sahaja?

"Adakah perundingan ini hanya menjaga kepentingan syarikat korporat multinasional atau syarikat besar semata-mata?

"Persoalannya, siapa yang akan untung daripada perjanjian ini," katanya.

Menurut Nizam, pertemuan dengan Froman juga berjaya menghasilkan satu persefahaman baru apabila mereka bersetuju untuk mengadakan penglibatan secara langsung dengan MTEM dan kumpulan sivil lain yang menentang TPPA.

"Ketelusan mesti berpusat.

"Tadi, salah satu hasil yang positif daripada perbincangan adalah mereka bersetuju dan komited untuk melibatkan secara langsung dengan pihak berkepentingan, seperti MTEM dan Bantah," katanya.

Bagaimanapun, Nizam berkata perbincangan perlu diteruskan lagi dan kajian manfaat kos (CBA) TPPA perlu dibentangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil.

"Kerajaan perlu bentangkan kajian manfaat kos terlebih dahulu dan tidak mengambil keputusan tergesa-gesa," katanya.

Namun, Nizam menegaskan sehingga hari ini, MTEM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bantah masih tidak bersetuju sekiranya Putrajaya menandatangani perjanjian TPPA tersebut.

"Bagi kami, sehingga hari ini MTEM kekal membantah TPPA.

"Ini bukan bermakna kami menolak pelaburan dan perdagangan, cuma risau mengenai kesan-kesan perdagangan dengan negara lain seperti China atau negara Asean lain," kata beliau.

Selain Malaysia, 12 negara lain yang terlibat dalam rundingan rahsia TPPA adalah AS, Australia, Brunei, Chile, New Zealand, Peru, Singapura, Jepun, Vietnam, Mexico dan Kanada.

Peningkatan bantahan beberapa NGO, termasuk MTEM, terhadap TPPA menyebabkan Putrajaya mengambil keputusan menangguhkan sebarang keputusan muktamad sehingga selesai dua analisis kos manfaat terhadap kesannya ke atas kebajikan nasional dan industri kecil dan sederhana Bumiputera. – 28 April, 2014.

TMI

No comments: