Monday, April 7, 2014

DYMM Sultan Selangor Berharap Ahli Keluarga Mangsa MH370 Sabar Menghadapi Dugaan


SHAH ALAM, 7 APRIL : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merakamkan perasaan terharu Baginda terhadap insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang dimaklumkan mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi, bulan lalu.

Baginda turut merakamkan rasa sedih dan simpati terhadap keluarga penumpang dan krew MH370 walaupun pada masa sekarang usaha mencari pesawat berkenaan sedang giat dijalankan.

Sultan Selangor bertitah demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ke-13 di sini, pagi tadi.

“Beta mendoakan supaya pencarian ini akan mendapat jawapan yang pasti dan memuaskan hati semua pihak, terutama kepada mereka yang sedang tertunggu-tunggu.

“Beta percaya Malaysia akan terus menjalankan usaha mencari jawapan yang tepat kepada tragedi yang berlaku ini.

“Beta berharap mereka akan bersabar dan redha menghadapi dugaan dan kententuan yang telah terjadi ini,” titah Baginda.

Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

selangorkini


No comments: